GENEVA, 21 Julai (Bernama-Anadolu) -- Paus Leo XIV mengadakan perbualan telefon pada Isnin dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagi membincangkan konflik yang sedang berlaku di Gaza serta peningkatan keganasan di Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Pejabat Akhbar Holy See.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Vatican semasa perbualan itu, Paus sekali lagi menegaskan gesaannya agar orang awam dilindungi dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi sepenuhnya.
“Paus mengulangi rayuannya agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati sepenuhnya, dengan penekanan khusus kepada kewajipan melindungi orang awam dan tempat suci, larangan penggunaan kekerasan secara sewenang-wenangnya serta pemindahan paksa penduduk,” kata kenyataan itu.
Di tengah apa yang digambarkan oleh Vatican sebagai “situasi kemanusiaan yang tragik,” Paus menekankan keperluan mendesak untuk menyalurkan bantuan kepada orang awam yang terjejas.
“Penekanan diberikan kepada keperluan segera untuk memberi bantuan kepada golongan yang paling terdedah kepada kesan konflik dan memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan yang mencukupi,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut mengenang pencapaian diplomatik penting antara Holy See dan Negara Palestin.
Paus “mengingatkan ulang tahun ke-10 Perjanjian Komprehensif antara Holy See dan Negara Palestin yang ditandatangani pada 26 Jun 2015 dan berkuat kuasa pada 2 Januari 2016,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial