BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lumba Perahu Sempadan Malaysia-Thailand Pacu Ekonomi Tempatan, Tarik Pelancong Dua Negara

20/07/2025 10:43 PM

PASIR MAS, 20 Julai (Bernama) -- Penganjuran pertandingan lumba perahu antara Malaysia dan Thailand di Sungai Golok bukan sahaja dijangka menghidupkan semula sukan tradisional dua negara, tetapi juga mampu menjadi pemangkin baharu sektor ekonomi dan pelancongan di kawasan sempadan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata inisiatif itu berpotensi memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa dan penyedia perkhidmatan pelancongan di sekitar Pasir Mas serta kawasan bersempadan dengan Sungai Golok.

“Kita lihat acara seperti ini boleh menghidupkan ekonomi setempat kerana pengunjung akan datang bukan sahaja untuk menonton lumba perahu, tetapi juga membeli makanan tradisional, menginap di hotel atau inap desa serta membeli kraftangan,” katanya kepada pemberita ketika hadir menyaksikan acara itu di Sungai Golok (sebelah Malaysia), di sini, hari ini.

Menurut Kamaruddin, lokasi yang dicadangkan iaitu pangkalan Pohon Jambu sememangnya sudah dikenali sebagai kawasan tumpuan masyarakat Malaysia dan Thailand, dan pemilihan tempat itu akan memberi kesan langsung kepada aktiviti ekonomi penduduk sekitar.

“Tempat ini cantik dan sesuai untuk acara seperti ini kerana sungainya tidak terlalu luas dan kemudahan asas sudah ada. Kita juga dapat kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa Sungai Golok,” katanya.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan untuk membesarkan skala penganjuran dengan melibatkan lebih banyak pasukan dari Kelantan dan wilayah Narathiwat, Thailand, supaya acara tersebut benar-benar menjadi produk pelancongan tahunan.

Selain pertandingan utama, antara tarikan unik yang dirancang ialah acara lumba perahu tutup mata, yang dilihat boleh menjadi nilai tambah bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Dalam edisi percubaan yang berlangsung semalam dan hari ini, sebanyak 40 pasukan termasuk lima dari Malaysia mengambil bahagian dan kira-kira 1,000 penonton hadir memeriahkan acara.

Acara seumpama itu diyakini bukan sahaja dapat memelihara warisan budaya, tetapi juga membantu merancakkan semula ekonomi tempatan yang bergantung kepada aktiviti pelancongan di kawasan sempadan, kata Kamaruddin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan