KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sekali lagi berputih mata apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan pada aksi final Terbuka Jepun 2025 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan, gandingan nombor satu dunia itu tidak berdaya mengekang serangan agresif Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sekali gus akur tewas 16-21 pada set pertama.
Sze Fei-Nur Izzuddin cuba bangkit pada set kedua mendahului 4-1, namun rentak permainan wakil negara goyah hingga membolehkan lawan menyamakan kedudukan 14-14 sebelum mendahului 15-14.
Kelekaan pemain negara itu membolehkan Won Ho-Seung Jae terus menguasai perlawanan sebelum menoktahkan kemenangan dengan 21-17 untuk meraih gelaran kelima mereka tahun ini.
Won Ho-Seung Jae membawa pulang wang kemenangan USD70,300 (hampir RM298,000) manakala Sze Fei-Nur Izzuddin USD33,250 (RM141,000) selaku naib juara.
Sementara itu, Sze Fei ketika ditemui mengakui lawan mereka kali ini sukar ditandingi.
“Mereka bermain pantas. Kami cuba mengejar rentak mereka, tetapi mereka terlalu hebat,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia kepada media.
Gandingan profesional negara ini bakal beraksi di Terbuka China bermula Selasa ini.
Sze Fei-Nur Izzuddin akan memulakan kempen kejohanan Super 1000 berdepan gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial