BELANJAWAN 2025 > BERITA

WUG 2025: Skuad Badminton Campuran Terkandas Di Suku Akhir

20/07/2025 12:51 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

MULHEIM AN DER RUHR (Jerman), 19 Julai (Bernama) -- Hasrat skuad negara mengulangi pencapaian edisi lepas tidak kesampaian apabila tewas 2-3 di tangan India dalam acara badminton berpasukan campuran Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di sini.

Pada aksi berlangsung di Westenergie Sporthalle itu, beregu campuran negara Wee Yee Hern-Clarissa San gagal menyumbang mata pertama apabila tewas kepada Sathish Kumar Karunakaran-Vaishnavi Khadkekar 9-15, 15-11, 11-15.

Jacky Kok Jing Hong bangkit menyamakan kedudukan selepas mengecewakan perseorangan lelaki India, Saneeth Dayanand 9-15, 15-13, 15-11.

Momentum kemenangan itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan perseorangan wanita Siti Zulaikha Muhammad Azmi Tan yang tunduk kepada Devika Shag 15-5, 8-15, 15-12.

Beregu lelaki Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazri Mohamad Razif kembali menghidupkan peluang Malaysia selepas mudah menjinakkan Saneeth-Sathish Kumar 15-8, 15-6.

India bagaimanapun berjaya menoktahkan kemenangan menerusi beregu wanita Tasnim Mir-Varshini Viswanath Sri yang bangkit menewaskan Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan 9-15, 15-13, 15-13 sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

India akan membuat perhitungan menentang Taiwan manakala China berdepan Korea Selatan di separuh akhir.

Misi kem badminton negara diteruskan dalam acara individu yang dijadualkan pada 22 Julai ini.

Untuk rekod, Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa masing-masing dalam acara berpasukan campuran dan beregu lelaki pada edisi lepas di Chengdu, China.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan