BELANJAWAN 2025 > BERITA

Piala ASEAN B-23: Tundukkan Brunei, Nafuzi Mahu Harimau Muda Bangkit

17/07/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Nafuzi Zain yakin anak buahnya mampu bangkit meraih kemenangan pada aksi kedua Kumpulan A Piala B-23 ASEAN menentang Brunei, yang dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.

Beliau berkata kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan kelmarin sudah dilupakan oleh barisan pemain yang kini tampil bersemangat untuk memburu tiga mata penuh dalam usaha menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir.

"Moral pemain kini berada pada tahap baik. Mereka kesal dengan kekalahan lalu, namun berjanji akan bangkit dengan persembahan lebih menyakinkan apabila menentang Brunei," katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media, hari ini.

Bagaimanapun, Nafuzi menegaskan skuad negara tidak boleh memandang mudah cabaran Brunei, meskipun lawan itu dibelasah Indonesia 8-0 dalam perlawanan pertama.

"Walaupun Brunei tewas besar kepada Indonesia, fokus kami kekal kepada persiapan pasukan sendiri. Jika tidak bermain dengan baik, menentang pasukan lemah sekali pun, kemenangan sukar diraih," katanya.

Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan tanpa sebarang mata, di belakang Indonesia dan Filipina yang masing-masing meraih tiga mata. Brunei pula di kedudukan tercorot, turut tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan