BELANJAWAN 2025 > BERITA

Golongan Muda Di Bandar Perlu Pimpin Usaha Tangani Perubahan Iklim - Dr Zaliha

17/07/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Golongan muda di bandar perlu memimpin usaha menangani perubahan iklim dengan tindakan proaktif dan tidak hanya sekadar memahami kesannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata generasi itu mempunyai peranan penting sebagai ejen perubahan yang mampu memberi impak besar terhadap kelestarian masa depan.

“Setiap tindakan yang diambil walaupun kecil mampu memberi kesan lebih besar daripada apa yang kita jangkakan. Jangan sia-siakan peluang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Wilayah Persekutuan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata program seumpama ini bukan hanya tentang memberi kesedaran tetapi untuk membuktikan bahawa anak muda boleh memimpin perubahan. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosioekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Parang Abai @ Thomas dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Zuraini Ahmad Tajuddin.

Dr Zaliha turut memetik kajian yang diterbitkan dalam jurnal Earth System Science Data bulan lepas yang menjangkakan jika kadar pelepasan karbon dioksida global kekal pada paras 46 gigaton setahun, baki had karbon dunia hanya tinggal 143 gigaton.

“Jika trend ini berterusan, had berkenaan dijangka habis seawal 2028. Apabila had ini dilanggar, hampir mustahil untuk mengekalkan (had) pemanasan bumi di bawah 1.5 darjah Celsius,” katanya.

Beliau berkata Kuala Lumpur sebagai ibu negara turut berdepan cabaran dengan populasi melebihi dua juta orang dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah hampir RM270 bilion tahun lalu.

“Setiap tahun, Kuala Lumpur menghasilkan sehingga 9.3 tan karbon per kapita. Ini bermakna, semakin pesat aktiviti ekonomi dan pembangunan bandar, semakin besar tekanan terhadap keseimbangan iklim dan alam sekitar,” katanya.

Dr Zaliha berkata usaha mengurangkan jejak karbon di bandar raya ini bagaimanapun menunjukkan perkembangan positif menerusi Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon 2030 dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050.

“Alhamdulillah, Kuala Lumpur berjaya menurunkan intensiti karbon daripada 30 gram karbon dioksida bagi setiap satu ringgit KDNK pada 2010 kepada hampir tujuh gram pada 2024.

“Penurunan lebih 75 peratus dalam tempoh 14 tahun ini adalah pencapaian membanggakan, namun kita tidak boleh berasa selesa,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan