BELANJAWAN 2025 > BERITA

RUU E-dagang Lebih Komprehensif Akan Dibentang Awal Tahun Depan - Armizan

17/07/2025 04:31 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan e-dagang dijangka dilakukan pada sidang pertama Parlimen tahun depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata sesi libat urus kajian semakan semula perundangan e-dagang itu telah bermula pada April 2024 dan disasarkan siap Ogos tahun ini.

Beliau berkata semakan itu perlu memandangkan kerangka perundangan sedia ada tiada punca kuasa yang jelas bagi kawal selia urus niaga elektronik.

“Akta Perdagangan Elektronik yang diwujudkan sebelum ini lebih bersifat 'enabler act' untuk mengiktiraf perdagangan elektronik manakala penguatkuasaan pula bergantung kepada Akta Perlindungan Pengguna melalui peraturan berkaitan, yang pada masa itu dianggap bersifat sementara.

“Jadi, sesi libat urus ini amat penting kerana kita perlu mendapatkan pandangan daripada pemain industri, pengendali, penjual dan pengguna agar kerangka perundangan yang diwujudkan bersifat komprehensif, adil dan diterima semua pihak berkepentingan untuk sektor e-dagang berkembang," katanya pada sidang media sempena sesi libat urus semakan semula perundangan e-dagang di sini hari ini.

Armizan berkata e-dagang merupakan antara sektor yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dengan nilai pendapatan momentum dari tahun ke tahun semakin meningkat.

"Tahun 2022 nilai pendapatan sektor e-dagang adalah 1.13 trilion, meningkat kepada 1.18 trilion pada 2023 dan 1.22 trilion bagi tahun lepas.

"Jadi kita tidak mahu sebarang pendekatan yang kita laksanakan dalam konteks perundangan ini bersifat mengekang perkembangan sektor berkenaan," katanya.

Armizan berkata setelah mekanisme kawal selia terhadap platform e-dagang yang berpangkalan dalam negara diputuskan, pendekatan sama perlu diteliti dan dilaksanakan ke atas platform yang berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan atau pemantauan ke atas platform yang tidak beroperasi secara fizikal dalam negara.

Ini, kata Armizan menimbulkan beberapa kebimbangan antaranya lambakan produk asing yang masuk ke pasaran tempatan tanpa kawalan yang memberi kesan kepada pemain industri domestik, termasuk peruncit tempatan serta ketidakadilan cukai dan peraturan memandangkan platform luar negara tidak dikenakan cukai korporat mahupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ditanya mekanisme kerajaan kepada kerajaan (G2G ) untuk kawal selia platform luar negara, berkata Malaysia kini menjalin perbincangan dengan negara luar termasuk Turki dan China, khususnya dalam aspek jualan langsung dan e-dagang secara keseluruhan.

Beliau berkata kerjasama dengan China hampir dimuktamadkan dan dijangka turut merangkumi elemen e-dagang.

"China kini berada di peringkat akhir perbincangan dengan kita berkaitan jualan langsung. Kita mahu libatkan juga elemen e-dagang dalam kerjasama itu supaya kita ada mekanisme G2G untuk kawal selia platform asing yang beroperasi rentas sempadan," katanya.

Armizan berkata kajian semakan perundangan e-dagang yang bermula sejak April 2024 melibatkan 23 siri libat urus, enam perbincangan meja bulat, empat lawatan penanda aras ke luar negara serta penyertaan lebih 300 responden.

Sesi libat urus turut dijadual diteruskan di Sabah dan Sarawak selepas ini.

Antara matlamat sesi libat urus adalah meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan terhadap kewujudan jurang serta isu berbangkit berkaitan kawal selia kerangka perundangan e-dagang sedia ada selain maklum balas dan cadangan terhadap ekosistem e-dagang. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan