Oleh Shaidathul Suhana Ros
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka memberi penekanan terhadap transformasi digital hijau, pemodenan industri berteknologi tinggi dan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah membina daya tahan ekonomi jangka panjang.
Profesor Kewangan dan Keusahawanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad menjangkakan dokumen seperti Ekonomi MADANI, Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menjadi hala tuju RMK13 berteraskan inovasi, kelestarian alam sekitar dan pembangunan inklusif.
"RMK13 akan memberi tumpuan khusus kepada bidang teknologi hijau, pendigitalan ekonomi, pembangunan modal insan mahir, kesejahteraan masyarakat luar bandar dan usaha mengurangkan jurang sosioekonomi antara wilayah. Pembangunan infrastruktur seperti rangkaian pengangkutan hijau, grid tenaga boleh diperbaharui dan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman juga akan diperkukuh," katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam bidang pendidikan, beliau menjangka tumpuan diberikan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta pembangunan kurikulum masa depan manakala bidang kesihatan pula dijangka menumpukan kepada pencegahan, teleperubatan dan pendigitalan rekod kesihatan kebangsaan.
"Keselamatan pula akan digerakkan melalui transformasi digital, termasuk penggunaan dron dan AI. Selain itu, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan pengenalan insurans rakyat iaitu skim mikroinsurans untuk golongan B40, pekerja gig dan usahawan mikro sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial yang inklusif," katanya.
Mengulas cabaran global seperti tarif 25 peratus dikenakan Amerika Syarikat terhadap produk Malaysia, Nik Maheran berkata negara boleh meminimumkan kesan terhadap ekonomi dengan memperkukuh inovasi, automasi dan pengeluaran produk hijau bernilai tambah, serta meluaskan pasaran dan menaik taraf industri tempatan bagi memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dibantu untuk beralih kepada pendigitalan, ekonomi hijau dan automasi bagi meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global memandangkan PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara yang menyumbang lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan serta menyediakan lebih tujuh juta peluang pekerjaan.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan RMK13 akan memberi tumpuan kepada penyampaian impak sebenar kepada rakyat menerusi pemerkasaan dasar sosial dan keadilan pembangunan.
"Ia khususnya dalam menangani jurang pembangunan antara wilayah, jurang kelas dan etnik, kelestarian dan pendigitalan seperti AI. RMK13 dijangka menjadi pelan strategik yang lebih berani dan inklusif dalam menjayakan visi MADANI. Antara dasar utama yang memberi bayangan hala tuju RMK13 ialah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, NETR, NIMP 2030, Dasar Pendigitalan dan Teknologi, serta Kajian Separuh Penggal RMK12.
"Indikator utama yang dijangka diketengahkan dalam RMK13 termasuk pertumbuhan ekonomi hijau, digitalisasi PKS, pengurangan ketidaksamaan wilayah dan pengukuhan modal insan. Berdasarkan prestasi RMK12, RMK13 dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang khususnya di Sabah dan Sarawak, transformasi digital dan ekonomi hijau, reformasi pendidikan dan TVET, keselamatan makanan, sekuriti tenaga serta pengukuhan sistem kesihatan awam pasca-COVID-19," katanya.
Dalam menangani isu ketidaksamaan ekonomi dan kos sara hidup, Sivamurugan berkata RMK13 dijangka memperkenalkan pendekatan bersasar yang lebih menyeluruh dan holistik termasuk reformasi subsidi, peluasan skim perlindungan sosial serta peningkatan mobiliti ekonomi golongan rentan.
Beliau berkata ia adalah selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan saksama dan inklusif demi keadilan sosial dan kestabilan politik.
Berdasarkan takwim Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas 2025 Mesyuarat Kedua, pembentangan RMK13 dijadualkan pada 31 Julai.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030, akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial