BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kemudahan Pengisian Semula Hidrogen Di Petros MFS Batu Kawa Mula beroperasi

15/07/2025 10:04 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Kemudahan pengisian semula hidrogen (H₂) di Stesen Pelbagai Bahan Api Petros (MFS) Batu Kawa kini sedang menjalani fasa ujian dan pentauliahan, satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Sarawak menuju masa depan berasaskan tenaga hidrogen.

Menurut SEDC Energy (SEDCE) pembinaan stesen utama itu mengikut piawaian keselamatan antarabangsa, iaitu sebahagian daripada pembangunan Petros MFS Batu Kawa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk bahan api konvensional, pengecasan kenderaan elektrik (EV), pengisian semula hidrogen, serta restoran makanan segera. 

"Stesen itu menerima 120 kilogram hidrogen yang dihantar oleh treler tiub dari loji Darul Hana, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi. Loji ini mempunyai kapasiti pengeluaran harian hingga 150 kilogram.

" … lima Toyota Mirai iaitu kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) yang dikendalikan oleh SEDCE  sedang jalani pengisian semula di stesen ini bagi memastikan semua sistem memenuhi prestasi dan piawaian keselamatan," menurut kenyataan SEDCE.

Kenderaan itu digunakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Menurut kenyataan itu, Dr Sim telah melawat stesen MFS Batu Kawa baru-baru ini, untuk menyaksikan proses pengisian semula Toyota Mirai miliknya. 

Semasa lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai kejayaan bersejarah pada 4 Julai lepas, iaitu penghantaran antara stesen pertama hidrogen hijau dari Darul Hana ke Batu Kawa yang mungkin pertama seumpamanya di ASEAN.

SEDCE cabang tenaga baharu kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ditubuhkan pada 2019 untuk membangunkan dan memacu rantaian nilai hidrogen Sarawak serta perniagaan runcit minyak dan gas hiliran di bawah jenama Petros MFS.

Setakat ini, 10 stesen MFS telah beroperasi sepenuhnya di seluruh Sarawak, termasuk di Darul Hana (Kuching), Daro, Kanowit, Kuala Matu, Brooke Drive (Sibu), Selangau, Tatau, Kapit, Sungai Asap dan Jepak.

Sementara itu, empat lagi stesen sedang dirancang, iaitu di Bintulu, Miri, Sibu dan Sri Aman.

Selain itu, tiga lagi stesen sedang dalam pembinaan, manakala lebih 40 lokasi lagi sedang dalam  peringkat perancangan dan kelulusan. 

Stesen berkenaan akan menyokong rangkaian infrastruktur pengisian semula hidrogen dan pengecasan EV yang pesat berkembang di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan