BELANJAWAN 2025 > BERITA

IOI Properties, Marriott Kerjasama Untuk Inisiatif Hijau Komuniti

15/07/2025 08:17 PM

 

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, IOI Properties Group Berhad (IOIPG) bekerjasama dengan Marriott International dan Marriott Worldwide Business Council di Malaysia untuk menganjurkan acara menanam pokok di 16 Sierra, Puchong South, Selangor.

Menurut IOIPG lebih 100 peserta, termasuk warga IOIPG, penduduk 16 Sierra serta petugas Le Méridien Petaling Jaya dan 24 hotel Marriott International menyertai acara yang berlangsung pada Sabtu lepas. Pokok-pokok telah ditanam di lapan lokasi di seluruh kawasan perbandaran seluas 535 ekar. 

“Apabila pokok-pokok berkenaan matang ia akan memberi manfaat kepada komuniti dengan membantu mengurangkan pencemaran udara, menyumbang kepada penyerapan karbon dan menyediakan kawasan yang teduh di laluan pejalan kaki sekali gus membantu mengurangkan kesan haba bandar,” menurut kenyataan IOIPG. 

Pengurus Besar 16 Sierra Calvin Sew berkata inisiatif itu selaras dengan Pelan Tindakan Lestari IOI 2030, bertujuan mempertingkatkan ekosistem alam sekitar perbandaran dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Ia juga mencerminkan komitmen jangka panjang IOI Properties dan Marriott International terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

IOIPG juga memperkenalkan beberapa ciri mesra alam di 16 Sierra, termasuk habitat kelip-kelip di The Tribe Glamping dan sistem anak sungai kering di Central Park yang direka untuk menyokong ekosistem semula jadi.

“Kami juga merancang mewujudkan eco-corridor bagi menghubungkan kawasan hijau di seluruh perbandaran, dengan kawasan hijau seluas 60.5 ekar yang diperakui untuk menumpukan kepada tenaga boleh diperbaharui, pengurusan air, perancangan alam sekitar, bangunan hijau dan pengangkutan lestari,” kata Sew.

Bagi menggalakkan lagi biodiversiti, spesies pokok terancam dan jarang-jarang ditemukan yang disenaraikan di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), seperti Aquilaria malaccensis (Gaharu) dan Mangifera caesia (Binjai), turut ditanam semasa acara berkenaan.

Inisiatif itu, menyokong beberapa agenda Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), termasuk SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 15 (Life on Land), dan SDG 17 (Partnerships for the Goals).

Sementara itu, Pengerusi Kelestarian Marriott Worldwide Business Councils Malaysia dan Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya Christopher Moore berkata mereka berbangga dapat bekerjasama dengan IOIPG dalam inisiatif berkenaan.

Beliau berkata kerjasama itu menyokong matlamat kelestarian Marriott International dan usaha mereka untuk mengurangkan pelepasan karbon global.

“Inisiatif itu bukan sahaja mempromosikan amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar tetapi juga memberi manfaat jangka panjang kepada perbandaran seperti 16 Sierra dan komuniti sekitarnya,” katanya.

Terletak berhampiran stesen MRT 16 Sierra, perbandaran ini turut menampilkan COVO, pembangunan berorientasikan transit pertama IOIPG yang diperakui GreenRE selain menawarkan 601 unit pangsapuri servis. 

Harga jualan bermula daripada RM584,000 dan unit berkeluasan antara 550 hingga 1,130 kaki persegi ini disasarkan kepada keluarga muda, golongan profesional dan pembeli rumah yang ingin menaik taraf kediaman.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ioiproperties.com.my/township/16-sierrapuchong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan