KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun ini masih kekal dalam unjuran dan berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan empat hingga lima peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka perdagangan global menyederhana pada separuh kedua 2025 di tengah-tengah keadaan tidak menentu ketika ini.
“Ya, (walaupun) ada aktiviti awal perniagaan, terutamanya dalam tempoh lima bulan lalu, tetapi pada masa yang sama, memandangkan tarikh akhir 1 Ogos (bagi tarif AS), kami menjangkakan prestasi sederhana akan berterusan.
"Kami akan mengumumkan angka dagangan terkini bagi Jun pada Jumaat ini dan apa yang penting adalah prestasi perdagangan Malaysia masih berada dalam unjuran," katanya pada sidang media sempena pengumuman kad laporan MITI bagi suku kedua 2025.
Tengku Zafrul berkata Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan perdagangan sekitar lima peratus pada tahun ini, manakala Kementerian Kewangan mengunjurkan kira-kira 3.9 peratus.
"Kami akan terus memberi tumpuan untuk mencapai sasaran (itu)," katanya.
Terdahulu semasa pembentangan kad laporan MITI, Tengku Zafrul berkata negara menjana potensi pelaburan berjumlah RM25.6 bilion dan potensi eksport bernilai RM30.8 bilion daripada misi perdagangan dan pelaburan yang dianjurkan setakat ini.
Malaysia juga baru-baru ini memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) pada Jun dengan perdagangan dalam pasaran EFTA dijangka mencecah RM14.4 bilion.
Sementara itu, mengenai rundingan tarif dengan Amerika Syarikat, Tengku Zafrul berkata kementeriannya kini sedang meneliti perkara berkaitan tarif dan bukan tarif yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Saya telah menetapkan tarikh akhir bagi pasukan perundingan, dan ada isu yang kami masih perlukan masa kerana ia melibatkan banyak agensi dan kementerian. Kami sedang berusaha memuktamadkannya sebelum tarikh akhir tarif pada 1 Ogos.
"Kami juga sedang membuat pertimbangan mengenai kesannya terhadap eksport kita dan juga hasil kerajaan. Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan pada minggu ini dan mempercepatkan perbincangan sehingga akhir bulan ini," katanya.
Tengku Zafrul berkata beberapa kebimbangan mengenai isu bukan tarif telah ditangani oleh MITI melalui pelaksanaan Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), manakala isu lain yang berkaitan dengan kepentingan ekuiti dalam sektor tertentu, perlu dikaji dengan teliti.
“Seperti yang anda tahu, Malaysia mempunyai sekatan ekuiti bagi pemegang saham asing untuk sektor tertentu, jadi terdapat permintaan untuk kita mengkaji semula atau meliberalisasikan sektor tersebut. Banyak negara juga telah diminta melakukan perkara yang sama.
"Kita perlu berunding dengan industri sama ada kita bersedia untuk meliberalisasikan sekatan pegangan saham ekuiti itu, terutamanya apabila membabitkan sekatan ekuiti asing yang ditetapkan dalam banyak sektor kita. Jadi kita perlu mengkaji dengan teliti apakah kesannya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial