BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Latih Pekerja Migran Sebagai Duta Budaya Di Luar Negara

15/07/2025 01:46 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 Julai (Bernama) -- Indonesia melancarkan satu inisiatif baharu latihan hospitaliti bagi memperkasa pekerja migran ke luar negara sebagai duta budaya tidak rasmi, dengan matlamat meningkatkan imej negara melalui kemahiran profesional dan "soft diplomacy".

Program "Wonderful Indonesia Hospitality Skills" itu dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P2MI), dengan menyediakan latihan asas dalam perkhidmatan pelanggan, komunikasi silang budaya dan penampilan diri.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keyakinan dan profesionalisme pekerja migran dalam suasana antarabangsa, serta membolehkan mereka membawa nilai dan budaya Indonesia ke mana sahaja mereka berada.

“Melalui inisiatif ini, kami mahu para pekerja bukan sahaja berjaya dari segi kerjaya, tetapi juga membawa nilai dan budaya Indonesia,” kata Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana dalam satu kenyataan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi satu memorandum persefahaman antara kedua-dua kementerian di Jakarta Pusat pada Isnin.

Widiyanti turut menekankan pengaruh besar yang dimainkan oleh diaspora Indonesia dalam membentuk persepsi dunia terhadap negara itu.

“Mereka membawa imej Indonesia ke serata dunia, menjadi jambatan budaya melalui interaksi harian di negara tuan rumah,” katanya.

Kementerian Pelancongan juga bercadang menyelaraskan program Kampung Pelancongan dengan inisiatif Kampung Migran EMAS P2MI yang menonjolkan warisan budaya tempatan, tarikan semula jadi dan pengetahuan tradisional sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan komuniti yang lebih luas.

Menteri P2MI, Abdul Kadir Karding menyambut baik kerjasama ini dan menyatakan permintaan tinggi terhadap pekerja yang memiliki kemahiran hospitaliti dan spa di luar negara.

“Kerjasama ini penting untuk meningkatkan kompetensi dan kesejahteraan pekerja migran kita,” katanya.

Bercakap pada sidang media awal tahun ini, Karding berkata P2MI menyasarkan penempatan 425,000 pekerja migran ke luar negara pada 2025, meningkat daripada hampir 300,000 pada 2024.

Sepanjang 2024, pekerja migran Indonesia telah menghantar pulang wang berjumlah IDR 251 trilion (kira-kira US$15.6 bilion), menyumbang 0.36 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan