BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejayaan Xpats Gateway Bukti Keberkesanan Reformasi Kerenah Birokrasi - MPC

14/07/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kejayaan platform Xpats Gateway memendekkan tempoh pemprosesan Pas Penggajian (EP) membuktikan keberkesanan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dalam memacu penambahbaikan kualiti penyampaian kerajaan secara menyeluruh.

Menurut kenyataan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini, kejayaan platform itu memproses 30,615 permohonan EP untuk lebih 20,000 syarikat antara Januari hingga Jun tahun ini, isyarat jelas komitmen kerajaan untuk reformasi yang substantif dan berimpak tinggi.

“Inisiatif seperti itu memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti sektor-sektor utama negara dengan mempercepat kemasukan bakat global.

“Kecekapan kerajaan yang dipertingkatkan ini bukan sahaja memperbaiki persepsi pelabur tetapi juga menyumbang secara langsung kepada matlamat negara untuk berada dalam kedudukan 12 teratas dalam penarafan daya saing global menjelang 2033,” menurut kenyataan itu.

Kejayaan Xpats Gateway disumbang oleh kerjasama strategik Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dalam memastikan proses permohonan EP lebih pantas, telus, dan cekap untuk memenuhi keperluan industri.

“Inisiatif itu ialah langkah kritikal dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Transformasi yang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menyatukan proses permohonan dan kelulusan daripada 26 agensi pelulus dan kawal selia, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di bawah satu bumbung.

MPC memainkan peranan dalam memudah cara kerjasama rentas agensi bagi memastikan Xpats Gateway bukan sahaja memenuhi standard teknikal tetapi juga mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan kecekapan dan menyokong persekitaran perniagaan yang dinamik.

Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail berkata platform itu bukti kejayaan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam menterjemah dasar kepada tindakan yang berimpak tinggi kepada negara.

“Inilah contoh terbaik bagaimana reformasi yang diselaraskan dengan baik dapat memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat," katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan