BELANJAWAN 2025 > BERITA

MA63: Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Dijangka Dimuktamad September Ini - Fadillah

14/07/2025 02:47 PM

KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 Sept ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan penyelesaian mengenai tuntutan itu, telah dikemukakan wakil kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata setiap cadangan penyelesaian dikemukakan, akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mesyuarat MTPMA63 berikutnya yang dijadual pada 12 Sept ini di Kuala Lumpur.

“Di situ nanti kita akan putuskan apa penyelesaiannya sama ada interim atau bagaimana, kerana kita juga mengambil kira ada kes (mahkamah) sedang berjalan sekarang ini (berhubung tuntutan 40 peratus) yang dibawa oleh Majlis Peguam Sabah.

“Dari segi perundangan, ada juga perkara yang mengekang untuk kita membuat penyelesaian tanpa keputusan daripada mahkamah. Tetapi apa yang kita nak cari ialah penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Sementara itu, Jeffrey berkata mesyuarat khas itu berlangsung dengan baik dan kerajaan Sabah telah membentangkan cadangan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang akan diteliti oleh MTPMA63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan