KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Sabah FC masih dalam fasa pembentukan pasukan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2025-2026 yang dijadualkan pada Ogos ini, kata jurulatih pasukan Alto Linus.
Beliau berkata skuad The Rhinos akan meneruskan beberapa lagi siri perlawanan persahabatan pada minggu-minggu terakhir pramusim bagi memastikan semua pemain benar-benar bersedia menghadapi cabaran Liga-M.
“Saya percaya kami perlukan tiga hingga empat lagi aksi persahabatan sebelum benar-benar bersedia untuk menghadapi saingan liga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengenai tiga pemain import baharu iaitu Dean Pelekanos, Dane Ingham dan Adjin Mujagic yang menyertai pasukan itu musim ini, Alto menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi semasa pemain berkenaan terutama ketika beraksi pada perlawanan persahabatan.
Walaupun Sabah FC mengalami kekalahan 2-8 pada aksi persahabatan menentang Buriram United di Pattani, Thailand semalam, Alto memuji prestasi pemain-pemain muda yang baru diserapkan dari skuad bawah 23 tahun.
Beliau berkata dua tonggak utama di benteng pertahanan iaitu Dominic dan Gabriel dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan dalam tempoh seminggu, sekali gus memberi kekuatan tambahan kepada pasukan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial