NIBONG TEBAL, 14 Julai (Bernama) -- Warga Kementerian Pendidikan (KPM) dinasihatkan agar tidak terlibat dengan program motivasi anjuran pihak luar yang tidak diketahui dari segi pengisiannya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata guru-guru seharusnya merujuk kepada kementerian bagi mendapatkan sokongan sewajarnya.
“Kita kalau boleh tidak perlu terlibat dengan program motivasi yang kita tidak tahu dari segi pengisian dan substance ini.
“Kita sepatutnya tumpukan perhatian kepada isu-isu kita di peringkat sekolah,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri, di sini hari ini.
Beliau mengulas serta memberi nasihat kepada warga pendidik sekiranya terlibat dengan program motivasi rumah tangga (eHATI), yang menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Fadhlina berkata KPM mempunyai pelbagai program pembangunan dan motivasi untuk guru, termasuk perkhidmatan kaunseling yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita tidak mahu guru-guru terbabit dengan program yang boleh menimbulkan keraguan atau menjejaskan integriti profesion perguruan. Banyak program pembangunan dalaman yang kita sediakan.
“Jadi nasihat saya, berhati-hati. Elakkan daripada menyertai program-program luar yang tidak sesuai. Tumpukan kepada motivasi dalam pendidikan kita,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program motivasi rumah tangga eHATI, yang didakwa tidak bermoral.
Beliau berkata beberapa saksi akan dipanggil bagi mendapatkan pengesahan, termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Fadhlina berkata KPM komited memastikan semua sekolah diselenggara dengan baik, agar menjadi tempat pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk murid serta warga pendidik.
Beliau berkata bantuan penyelenggaraan diberikan setiap tahun kepada semua sekolah dan sebarang keperluan melibatkan struktur yang lebih besar akan dirujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan.
“Mana-mana struktur sekolah yang berada dalam keadaan yang tidak baik, kita mesti ambil tindakan segera kerana ia melibatkan tempat pengajaran yang mesti kondusif dan selamat,” katanya.
Fadhlina menjelaskan KPM termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan bangunan sekolah dan sentiasa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana struktur sekolah yang tidak berada dalam keadaan baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial