MELAKA, 13 Julai (Bernama) -- Encore Melaka yang terletak di Impression City, Kota Syahbandar di sini merupakan antara lokasi cadangan bagi penganjuran kemuncak sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada September ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata pemilihan lokasi itu ekoran kedudukannya yang terletak di pesisir Selat Melaka sekali gus menjadikan Encore Melaka sebagai produk pelancongan unik yang berpotensi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negeri.
Beliau berkata Encore Melaka bukan sahaja sebuah teater yang dilengkapi pentas berputar 360 darjah tetapi juga pusat pertunjukan seni dan budaya.
"Sekarang ini, kita ada beberapa lokasi (cadangan) iaitu di kawasan Banda Hilir selain di Encore Melaka dan kita telah mencadangkan (lokasi berkenaan) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Pemilihan Encore Melaka berkenaan kerana kedudukannya di tepi (pantai) dan kita ingin mengetengahkan Selat Melaka selain Encore Melaka merupakan satu produk pelancongan yang boleh kita angkat sebagai tarikan pelancong luar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata sebagai persediaan menyambut WTD 2025, pelbagai program menarik sedang dirangka bagi memeriahkan sambutan seiring pemilihan Melaka sebagai tuan rumah peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Pelbagai program telah dirangka pada bulan September ini merangkumi program keagamaan sempena sambutan Maulidur Rasul di bawah kluster Pelancongan Islam.
"Maklumat lanjut berhubung semua program yang bakal berlangsung akan dimaklumkan kepada umum pada masa terdekat ini," katanya.
Terdahulu, beliau berkata pelaksanaan Program WRUR yang memasuki lokasi keenam bukan platform politik untuk mengekalkan kuasa sebaliknya bertujuan menyelesaikan masalah rakyat yang masih berbangkit selain memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.
"Tanggungjawab kita atau kerajaan hari ini untuk memastikan kemudahan yang diperlukan rakyat sentiasa dinaik taraf demi keselesaan mereka," katanya.
WRUR DUN Duyong yang berlangsung bermula hari ini hingga 26 Julai ini melibatkan penganjuran sebanyak 166 program pelbagai kluster antaranya sukan, kemasyarakatan, kesihatan dan keagamaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial