BELANJAWAN 2025 > BERITA

Macron Kecam Tarif AS, Desak Langkah Balas

13/07/2025 05:25 PM

ISTANBUL, 13 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Sabtu menyuarakan “kecaman keras” terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 30 peratus ke atas eksport Kesatuan Eropah (EU), serta menggesa supaya penyediaan "langkah balas yang berwibawa" dipercepatkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Perancis berkongsi penolakan tegas terhadap pengumuman tarif 30 peratus ke atas eksport EU ke Amerika Syarikat mulai 1 Ogos,” kata Macron di platform X.

Beliau mengulangi keperluan Suruhanjaya Eropah untuk menegaskan tekad blok itu dalam mempertahankan kepentingan Eropah.

“Ini secara khususnya menuntut agar penyediaan langkah balas yang berwibawa dipercepatkan, dengan menggerakkan semua instrumen yang ada termasuk mekanisme anti-paksaan, sekiranya tiada persetujuan dicapai sebelum 1 Ogos,” kata beliau.

Macron turut menyatakan sokongan penuh Perancis terhadap rundingan yang dijangka “dipertingkatkan” untuk mencapai persetujuan bersama menjelang 1 Ogos, “yang mencerminkan rasa saling menghormati antara rakan dagang seperti EU dan AS, selaras dengan kepentingan bersama serta rantaian nilai yang saling berkait.”

Terdahulu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 30 peratus ke atas EU dan Mexico mulai 1 Ogos, sekali gus menjejaskan rundingan perdagangan AS-EU yang dijangka dimuktamadkan bulan ini.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump turut berkongsi dua pucuk surat yang ditujukan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, memaklumkan pelaksanaan tarif baharu itu ke atas barangan dari Eropah dan Mexico yang memasuki pasaran AS.

Susulan itu, Ursula von der Leyen menyatakan kesediaan EU untuk bekerjasama dengan AS bagi mencapai perjanjian sebelum 1 Ogos dan berjanji akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kepentingan EU, termasuk mengenakan langkah balas yang setimpal.

-- BERNAMA-ANADOLU


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan