BELANJAWAN 2025 > BERITA

UMNO Tidak Akan Tinggalkan Rakan Komponen BN - Ahmad Zahid

12/07/2025 11:13 PM

SUNGAI BULOH, 12 Julai (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO akan terus setia bersama rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Friends of BN dalam apa jua keadaan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyeru agar parti komponen tidak mengambil langkah terburu-buru termasuk mengugut untuk meninggalkan gabungan ketika berdepan cabaran politik semasa.

“Saya beritahu rakan-rakan (komponen) ketika ini mereka susah, MIC hanya satu kerusi, MCA hanya dua kerusi dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) satu kerusi di Sabah. Kita (UMNO) pun susah juga kita hanya 26 kerusi, dulu 64 dan sebelum itu lebih seratus.

“Dalam sama susah ini UMNO tidak akan meninggalkan MCA atau MIC atau PBRS atau rakan Friends of BN. Ini cara kita, jangan masa susah nak ugut keluar,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini hari ini.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa parti komponen BN seperti MCA dipinggirkan dalam agihan kerusi termasuk kerusi majoriti Melayu.

Sebaliknya, beliau berkata MCA dan MIC diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi Melayu.

“Di mana kerusi majoriti Melayu kita tidak bagi kepada MCA? Tanjung Piai bukan kerusi Melayu? Ataupun di Ayer Hitam bukan kerusi Melayu? Semua kerusi Melayu yang kita beri kepada MCA ertinya kita menghormati. 

“MCA adalah rakan komponen BN yang taat dan setia daripada dahulu, pegangan itulah yang kita akan kekalkan. Begitu juga kerusi kepada MIC, semuanya kerusi Melayu yang kita berikan kepercayaan kepada mereka untuk bertanding,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Naib Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa agar parti itu tidak dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sebaliknya perlu diberikan kerusi sesuai untuk membuktikan kerelevanannya termasuk kerusi kawasan majoriti Melayu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa pihak yang mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan supaya menghormati proses perundangan dan sistem demokrasi di negara ini.

Beliau menegaskan Anwar ketika ini mendapat sokongan melebihi dua pertiga Ahli Parlimen iaitu 153 wakil rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan