JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG, yang terlibat kemalangan di Gelang Patah baru-baru ini pastinya akan dikenang, berikutan “jasa dan sumbangannya” kepada pelbagai lapisan masyarakat menerusi ribuan operasi.
Sejak berita mengenai pesawat ini terhempas di Sungai Pulai ketika mengikuti latihan pengesanan nuklear pada Khamis, ramai pihak yang mula mengimbau semula momen dan kenangan mereka, tidak kisah sama ada pengalaman menaikinya, atau operasi yang pernah disertai helikopter ini.
Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Noor Sham Md Jani, mengumpamakan 9M-PHG yang berusia 28 tahun sebagai “kecil-kecil lada api”, dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013 sebagai antara “sumbangan” terbesar helikopter itu.
Noor Sham yang memiliki hampir 7,000 jam rekod menerbangkan helikopter AS355N berkata beliau sendiri menerbangkan helikopter itu bagi membawa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang tercedera ke Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu, ketika indisen berdarah itu berlaku.
“Daripada hari pertama insiden, tiga jenis pesawat sama (AS355N) termasuk 9M-PHG bersama kru terlibat ditempatkan di Lahad Datu selama hampir tiga minggu, sebelum pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba.
“Kita gunakannya siang dan malam, tugas utama adalah untuk membuat pemantauan dan pesawat ini juga bawa pasukan PGA kita yang cedera di kaki dan tangan ke hospital Lahad Datu dan Hospital Sandakan, Saya sendiri yang membawanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian pada 10.15 pagi pada Khamis, helikopter itu terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa helikopter berkenaan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
Noor Sham berkata, helikopter yang baru sahaja menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) berkenaan juga merupakan antara yang sangat kerap digunakan untuk operasi bantuan kemanusiaan bagi memindahkan mangsa bencana, pemantauan trafik, banjir dan jenayah.
Ia turut digunakan untuk tujuan pemantauan udara bagi acara besar seperti ketika lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada 15 hingga 17 April lepas, selain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat COVID-19.
“Disebabkan saiznya yang kecil, kita gunakan helikopter ini untuk command and control, contoh kalau ada kes berlaku kita gunakannya untuk buat pemerhatian terlebih dahulu kerana mudah menyelit, kemudian barulah kita gunakan pesawat lebih besar seperti AW139 jika keadaan memerlukan,” katanya.
Di Johor, 9M-PHG jugalah helikopter yang digunakan untuk memindahkan tiga ibu mengandung berusia 22 hingga 33 tahun dari perkampungan Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Puchor yang terputus hubungan akibat banjir di Kahang, Kluang ke hospital.
PDRM memiliki lima pesawat jenis AS355N iaitu dua di Sabah, satu di Sarawak, dan dua di Sememanjung termasuk 9M-PHG.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial