KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Peraturan baharu bagi memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal secara haram di perairan negara dijangka mula berkuat kuasa hujung bulan ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata langkah itu merupakan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara pesisir untuk memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara dan imej negara tidak tercemar dengan tuduhan tidak berasas.
“Aktiviti kapal ke kapal ini jadi duri dalam daging kerana kita sering dituduh mengamalkan atau membenarkan pemindahan minyak secara haram berlaku di kawasan kita. Ini kawasan kita, dan kita akan jaga serta kawal dengan lebih ketat,” katanya pada sidang media penutup Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan, di sini, Jumaat.
Mohamad menjelaskan bahawa kesemua kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara tidak sah akan ditahan, sejajar peraturan baharu yang sedang dimuktamadkan.
“Sebelum ini bila kita minta koordinat, mereka beri tetapi rupanya bukan dalam kawasan kita. Kali ini kita tidak akan biar lagi. Kalau dapat tangkap, kita akan tahan kapal tersebut. Kita tidak mahu lagi dituduh sebagai negara yang beri kemudahan kepada kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan lebih tegas ini akan memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia serius dalam menangani isu itu, walaupun mungkin ada pihak yang tidak senang dengan langkah tersebut.
“Julai ini kita akan laksanakan. Ramai mungkin marah, tetapi ini adalah demi menjaga kedaulatan negara,” tegas beliau.
Semalam, beliau berkata Malaysia kekal komited terhadap peranannya sebagai negara pesisir, dan sedang menggubal peraturan baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan maritim terhadap pemindahan kapal ke kapal secara haram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial