BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kesatuan Atasi Perpecahan, AMM Ke-58 Berakhir Dengan Tekad Perkukuh Kerjasama

11/07/2025 10:19 PM

Oleh Yazmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan berakhir pada Jumaat dengan semangat baharu kerjasama serantau dan seruan untuk berdialog bagi mengatasi perpecahan.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, berjaya meletakkan rantau itu sebagai suara yang mantap dan boleh dipercayai dalam landskap global yang semakin berpolarisasi.

Sepanjang empat hari bermula 8 Julai, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada lebih 20 mesyuarat peringkat menteri, mengumpulkan menteri-menteri luar ASEAN dan rakan sejawat mereka dari kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Kesatuan Eropah, Jepun, India dan lain-lain.

Di tengah-tengah pelbagai konflik global dan persaingan geopolitik yang meningkat, ASEAN berdiri teguh pada prinsip-prinsip yang telah lama membentuk rantau itu menerusi perpaduan, berkecuali, dan keterangkuman.

AMM ke-58 mengulangi semula komitmen ASEAN terhadap penyelesaian aman pertikaian, khususnya di Laut China Selatan dengan menteri-menteri bersetuju mengenai keperluan mendesak memuktamadkan Kod Etika yang substansif dan berkesan selaras dengan undang-undang antarabangsa dan UNCLOS 1982.

Mengenai krisis Myanmar, ASEAN dan rakan dialognya menegaskan bahawa mengadakan pilihan raya di Myanmar bukanlah keutamaan pada masa ini, sebaliknya menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan dialog inklusif bagi meredakan krisis yang sedang berlaku.

Memetik kenyataan daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, fokus mereka kekal kepada pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC), yang antara lain menuntut penghentian segera keganasan, penghantaran bantuan kemanusiaan serta dialog politik inklusif yang melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Antara tumpuan utama ialah penekanan terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang telah diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei, dengan wawasan itu menggambarkan sebuah rantau yang lebih tahan lasak, terhubung secara digital dan rantau yang mampan, serta mempromosikan hak asasi manusia, merapatkan jurang pembangunan dan mengukuhkan hubungan antara rakyat.

Sementara itu, pertemuan dengan rakan dialog menyaksikan ASEAN dan rakan-rakannya bersetuju untuk menghadapi cabaran bersama dari perubahan iklim hingga pemulihan ekonomi.

Antara lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio yang menegaskan komitmen Washington yang berterusan terhadap ASEAN, menyifatkan blok serantau itu sebagai “mekanisme utama” bagi penglibatan AS di Indo-Pasifik.

Rubio juga menggambarkan penglibatannya dalam AMM yang diketuai ASEAN (AMM) sebagai “luar biasa” sambil menegaskan bahawa Asia Tenggara tidak boleh diketepikan di tengah-tengah cabaran global yang sedang berlaku.

Sementara itu, Menteri Luar China Wang Yi berkata China kekal komited kepada prinsip kejiranan baik, keamanan dan kemakmuran, untuk menegakkan konsep “masa depan bersama”, serta bekerjasama dengan ASEAN bagi mempromosikan nilai keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman.

Di tengah-tengah ketidaktentuan global dan peningkatan perpecahan geopolitik, Malaysia muncul sebagai penganjur yang positif dalam menyediakan ruang untuk dialog secara terbuka.

Antara detik paling menarik dalam AMM ialah pertemuan secara bersemuka yang jarang-jarang berlaku iaitu antara Rubio dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, di sela-sela perbincangan peringkat tinggi.

Secara berasingan, Rubio juga mengadakan pertemuan buat kali pertama secara langsung dengan Wang, iaitu satu detik simbolik bagi dua kuasa dunia berinteraksi antara satu sama lain di bawah payung ASEAN, di bumi Malaysia.

Pada ketika mesyuarat itu berakhir, nada yang jelas adalah bahawa ASEAN tidak kebal terhadap cabaran dunia, tetapi ia kekal sebagai satu platform penting, dengan perbincangan yang sukar masih boleh dilaksanakan.

Di tengah-tengah perpecahan, Kuala Lumpur menyampaikan mesej bahawa dialog, keterangkuman dan kerjasama serantau masih lagi penting dan malah mungkin kini ia sesuatu yang lebih penting daripada sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan