KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri luar dan ekonomi ASEAN dijangka mengadakan mesyuarat bersama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan untuk membentuk tindak balas serantau yang lebih terkoordinasi terhadap cabaran ekonomi global.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata walaupun tarikhnya belum ditetapkan, ia akan berlangsung sebelum sidang kemuncak itu, dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober, manakala sidang pleno dan pemukiman ditetapkan pada 26 Oktober.
Kao berkata demikian dalam temu bual media di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata keputusan itu dibuat di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam perdagangan global termasuk langkah mengejut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini dilaporkan menghantar surat kepada Vietnam mencadangkan tarif sifar peratus untuk eksport AS.
Mengulas lanjut, Kao berkata di peringkat ASEAN, negara anggota telah pun mengadakan sebanyak enam perbincangan, memfokuskan kepada implikasi tarif AS dan mengubah dasar ekonomi global.
"Pendirian kami adalah jelas. ASEAN terus meneruskan libar urus dan rundingan yang membina dengan Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, negara anggota juga boleh mengadakan rundingan dua hala secara terus," katanya.
Beliau menekankan bahawa ASEAN tidak menyimpang daripada komitmen lamanya terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, terbuka dan berasaskan peraturan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Ini telah dicerminkan secara konsisten dalam semua dokumen dan kedudukan ASEAN. Sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi dalamannya, ASEAN telah memuktamadkan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dijangka ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Di sebalik penurunan tarif, ASEAN kini sedang giat berusaha untuk menghapuskan halangan bukan tarif untuk merealisasikan visi pasaran tunggal.
"Kami juga mempercepatkan rundingan untuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, selain itu kami telah menyelesaikan penambahbaikan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China, Australia dan New Zealand. AANZFTA berkuat kuasa pada April tahun ini," katanya.
Di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan, Kao berkata ASEAN juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Strategi Geoekonomi yang membentangkan set syor pertamanya semasa AMM baru-baru ini untuk mengkordinasi tindak balas serantau bagi menangani perubahan ekonomi luar.
“Pasukan petugas berkenaan diberi mandat untuk menyokong keutamaan ekonomi ASEAN terutamanya perdagangan dan bekerjasama rapat dengan menteri luar dan ekonomi negara anggota ASEAN,” katanya.
Perundingan dalaman ASEAN turut mengadakan persiapan untuk libat urus yang akan diadakan secara kerap dengan AS pada September melalui perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-USTR (Wakil Perdagangan AS).
"Kesimpulannya, AS kekal sebagai rakan kongsi penting, strategi kepelbagaian perdagangan ASEAN kekal kukuh. Kita mempunyai FTA dengan China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand serta perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN terus berkembang," katanya.
Pada April 2025, AS menggunakan mekanisme tarif timbal balik, mengumumkan levi antara 24 peratus hingga 49 peratus ke atas import dari negara ASEAN, Malaysia dikenakan (24 peratus), Kemboja (49 peratus), Vietnam (46 peratus), manakala Laos dan Myanmar dikenakan 40 peratus.
Menjelang Julai, tarif telah berubah, kadar Malaysia naik satu peratus kepada 25 peratus, manakala Vietnam dan Kemboja menyaksikan penurunan (masing-masing kepada 20 peratus dan 36 peratus), mankala Indonesia dan Thailand tidak terjejas masing=masing pada 32 peratus dan 36 peratus sementara Singapura, Filipina dan Brunei masih menunggu pengesahan.
Mengenai perkembangan berkaitan, Kao berkata ASEAN tetap terbuka kepada Ilbat urus membina dengan semua rakan dialog dalam mempromosikan kerjasama serantau, pada masa sama meneruskan usaha untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan rakan kongsi utama.
“Apa yang penting ialah Amerika Syarikat, di bawah pentadbiran semasa telah mengesahkan komitmennya kepada ASEAN dan Indo-Pasifik.
"Ini jelas dan tegas dinyatakan oleh Setiausaha Negara AS," katanya dalam temu bual media di luar AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini.
Beliau berkata ini mencerminkan sokongan Washington terhadap usaha diterajui ASEAN dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
Mengenai Perjanjian kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) kepada Versi 3.0 yang dijangka ditandatangani pada Oktober, beliau berkata kebanyakan kerja tersebut telah siap manakala pegawai terbabit kini sedang mengusahakan penyentalan undang-undang.
“Kami mencapai kemajuan di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang kekal sebagai rangka kerja utama bagi perdagangan serantau,” katanya.
Beliau berkata ASEAN dan China tidak tertumpu kepada satu pasaran tunggal sahaja, Kao berkata kedua-dua rangka kerja itu bertujuan untuk menggalakkan kerjasama situasi yang saling menguntungkan dan meningkatkan integrasi perdagangan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan termasuk Sidang Kemucak Asia Timur dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober depan di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial