BELANJAWAN 2025 > BERITA

Di Sebalik Peperangan, Bekas Pesakit Polio Bangunkan Inisiatif Kesan Tibi Di Palestin

11/07/2025 11:53 AM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 11 Julai (Bernama) -- Hidup di sebuah negara yang dilanda perang dengan akses kepada kemudahan asas yang terhad, tidak menghalang belia Palestin membangunkan projek inovatif untuk meramalkan dan mencegah penularan penyakit batuk kering atau tibi di negaranya. 

Lebih mengagumkan, projek itu disenarai pendek dalam kalangan 20 terbaik bagi kategori individu Anugerah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) 2025.

Ketua Projek Palestine Al Hub, Nidaa Awawda berkata inspirasi di sebalik inisiatif itu datang daripada pengalamannya sendiri ketika menghidap polio semasa kecil.

"Projek ini menceritakan kisah yang saya sendiri alami dan dihadapi oleh rakyat di negara saya.

"Sewaktu kecil, saya menghidap polio. Malangnya, selepas perang, polio tersebar dengan meluas dalam sistem pembetungan di Gaza dan kini terdapat bilangan kes yang tinggi," katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di luar acara WSIS+20 di sini baru-baru ini.

Berdasarkan pengalaman peribadinya, Nidaa membangunkan sistem yang menumpukan kepada pengesanan awal kewujudan tibi dalam sistem pembetungan yang membolehkan pihak berkuasa bertindak sebelum penyakit itu merebak dengan cepat.

Beliau berkata pengiktirafan projek itu dalam Anugerah WSIS 2025 membuktikan ketabahan dan potensi golongan belia walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Kami ialah rakyat yang mempunyai potensi besar. Belia kami mampu melakukan perubahan melalui teknologi," katanya.

Nidaa turut menggesa komuniti antarabangsa untuk membantu membina semula kapasiti teknologi Palestin, terutamanya infrastruktur telekomunikasi.

"Bantulah kami untuk membangunkan semula infrastruktur … 75 peratus infrastruktur komunikasi Palestin telah musnah sepenuhnya," kata Nidaa yang merupakan jurutera komputer.

Menekankan peranan penting komunikasi dalam kehidupan moden, Nidaa berkata akses kepada komunikasi bukan lagi satu kemewahan, tetapi juga satu keperluan kemanusiaan.

Beliau turut menyuarakan harapan untuk bekerjasama dengan Malaysia, khususnya dengan Kementerian Komunikasi dalam bidang seperti latihan serta pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Palestine Al Hub ialah platform untuk memperkasakan belia Palestin dengan mengintegrasikan belia daripada pelbagai latar belakang dalam komuniti Palestin sekali gus memupuk semangat perpaduan dan matlamat bersama.

Hab itu menumpukan kepada pelbagai inisiatif termasuk pemerkasaan belia melalui bengkel dan aktiviti, program untuk kanak-kanak dan pelajar serta pembangunan kemahiran bagi kemajuan kerjaya.

Anugerah WSIS dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain untuk mengiktiraf projek dan aktiviti yang memanfaatkan kuasa ICT bagi memajukan matlamat pembangunan mampan (SDG).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan