BELANJAWAN 2025 > BERITA

China, Rusia Perkukuh Koordinasi Strategik Asia Pasifik, Sokong Peranan ASEAN

10/07/2025 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- China menggesa penyelarasan strategik yang lebih kukuh dengan Rusia untuk menyokong rangka kerja kerjasama serantau yang berpusatkan ASEAN, terbuka dan inklusif di Asia Pasifik, sambil menyifatkan rantau itu sebagai hab penting untuk pertumbuhan dan kerjasama.

Menteri Luar China Wang Yi berkata Asia Pasifik merupakan kejiranan bersama bagi China dan Rusia, dan kedua-dua negara sebagai rakan dialog utama ASEAN harus bekerjasama memperkukuh koordinasi dalam platform kerjasama Asia Timur.

“Sebagai rakan dialog penting ASEAN, China dan Rusia perlu memperkukuh penyelarasan strategik pada platform kerjasama Asia Timur serta menyokong rangka kerja kerjasama serantau yang berpusatkan ASEAN yang terbuka dan inklusif.

“Ini bagi memastikan hala tuju pembangunan yang betul bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF), serta memacu mekanisme kerjasama Asia Timur untuk membina konsensus pembangunan, menjadikannya enjin penting dan kuasa positif kepada pembangunan global,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di sini, Khamis.

Wang berkata China dan Rusia turut bertukar pandangan mengenai isu nuklear Iran.

“Saya menegaskan bahawa kekerasan tidak boleh membawa keamanan, tekanan tidak akan menyelesaikan masalah, dan dialog serta rundingan adalah satu-satunya penyelesaian asas,” katanya.

Wang berkata China menghargai komitmen Iran untuk tidak memiliki senjata nuklear dan menghormati hak Iran, sebagai penandatangan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), untuk menggunakan tenaga nuklear secara aman.

Beliau berkata sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan pihak penting dalam Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), China dan Rusia perlu terus memperkukuh koordinasi strategik, memajukan proses penyelesaian politik dan diplomatik isu nuklear Iran, mempertahankan rejim antipenyebaran senjata nuklear antarabangsa dan berusaha ke arah keamanan serta kestabilan di Timur Tengah secepat mungkin.

Selain itu, kedua-dua menteri turut bertukar pandangan mengenai isu Palestin-Israel dan isu serantau serta antarabangsa lain yang menjadi kepentingan bersama.

Sementara itu, Lavrov berkata Rusia mengesahkan komitmennya untuk memperkukuh dialog dan perkongsian strategik dengan China, khususnya di Asia Pasifik, di tengah-tengah perkembangan global yang kompleks yang memerlukan koordinasi lebih erat dan kerjasama berterusan.

Lavrov berkata situasi antarabangsa semasa yang mencabar dan berubah dengan pantas menjadikan dialog tetap serta penglibatan bermakna antara Moscow dan Beijing semakin penting.

Beliau berkata Rusia akan menyokong China dalam memegang jawatan pengerusi bergilir Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), bekerjasama mempersiapkan fasa seterusnya untuk pertukaran dan kerjasama peringkat tinggi dalam pelbagai bidang, dan memperkukuh komunikasi serta koordinasi dalam kerangka seperti BRICS.

BRICS, yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun, dengan Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan