KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- China menegaskan pendiriannya membantah sebarang tarif yang dianggap tidak berasas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
“Kami membantah tarif yang tidak wajar,” kata Menteri Luar China Wang Yi ringkas kepada media pada Khamis ketika ditanya mengenai pengumuman terbaharu Washington mengenai tarif.
Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus terhadap 14 negara termasuk Malaysia, selain menandatangani perintah eksekutif untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik sehingga 1 Ogos.
Pada hari sama, beliau turut mengumumkan menerusi platform Truth Social bahawa tarif sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos.
Trump kemudian mengeluarkan satu lagi pusingan surat pemberitahuan tarif kepada enam negara iaitu Algeria, Brunei, Iraq, Libya, Moldova dan Filipina pada Rabu.
Menurut kandungan surat itu, tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas Libya, Iraq, Algeria dan Sri Lanka; 25 peratus ke atas Brunei dan Moldova; serta 20 peratus ke atas Filipina.
Pada hari sama, Trump mengumumkan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari Brazil, juga berkuat kuasa 1 Ogos.
Wang Yi, yang berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga (APT) ke-26 dan mesyuarat berkaitan bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.
China sebelum ini telah bertindak balas terhadap tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS sejak April 2025, yang bermula pada kadar 34 peratus pada 2 April dan meningkat mendadak sehingga 145 peratus.
Kedua-dua negara kemudian mencapai persetujuan dengan AS mengurangkan tarif tambahan ke atas Beijing kepada 30 peratus daripada 145 peratus, manakala China menurunkan tarif ke atas beberapa barangan import dari AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus.
Mesyuarat APT ke-26 turut disertai Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya, Timbalan Menteri Luar Pertama Korea Selatan Park Yoon Joo, serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial