BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tabung Endowmen Langkah Progresif Jamin Masa Depan Fiskal DBKL

10/07/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Tabung Endowmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diwujudkan DBKL hari ini ialah satu instrumen fiskal progresif bagi menjamin masa depan fiskal pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang turut mengucapkan tahniah untuk inisiatif itu berkata DBKL kini memikul peranan jauh lebih besar berbanding fungsi konvensional PBT.

“Dalam kita mengemudi sebuah kota yang kompleks seperti Kuala Lumpur, kebergantungan kepada belanjawan tahunan semata-mata tidak lagi mencukupi.

“Realitinya, tekanan fiskal yang dihadapi DBKL saban tahun semakin meningkat. Pada 2025, kelebaran defisit DBKL mencecah hingga RM325.9 juta. Pada masa yang sama, keperluan rakyat juga semakin luas, pelbagai dan mendesak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Zaliha berkata selain kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan yang menelan hampir RM1 bilion setahun, DBKL juga memainkan peranan sebagai pelaksana fungsi sosial, termasuk bantuan kebajikan dan program komuniti dengan jumlah tanggungan melebihi RM140 juta setahun.

Beliau berkata dengan kewujudan tabung itu, ia menjadikan DBKL bukan sahaja antara PBT terawal meneroka model berkenaan, malah menjadi yang pertama di negara menerima kelulusan pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Namun, lebih daripada sekadar instrumen kewangan tambahan, tabung ini mewakili satu gagasan baharu, iaitu sebuah budaya kebertanggungjawaban kolektif yang mengiktiraf peranan rakyat sebagai pemegang amanah masa depan kota ini.

“Kita memperkenalkan konsep 'shared stewardship', iaitu pembangunan bandar tidak lagi dilihat sebagai urusan pentadbiran semata-mata, tetapi sebagai usaha bersama antara pemerintah, warga kota dan sektor swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha  menyeru semua pihak termasuk korporat, individu dan komuniti tampil sebagai rakan strategik DBKL dalam menyumbang dan bersama menghidupkan Tabung Endowmen.

Beliau berkata setiap sumbangan bukan sahaja membantu menyokong keperluan rakyat, tetapi menyemai benih untuk masa depan Kuala Lumpur yang lebih lestari dan adil.

“Mari kita bangunkan bandar ini dengan semangat, nilai dan pemilikan sosial bersama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan