JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pengisian segera petugas kesihatan melibatkan sebahagian doktor dan jururawat di negeri itu yang akan dipindahkan ke Hospital Pasir Gudang (HPG), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata perpindahan berkenaan adalah membabitkan doktor dan jururawat dari hospital awam seluruh negeri itu.
"Saya akan ke KKM pada esok untuk bincangkan perkara yang telah dibincangkan beberapa hari ini, khususnya kekurangan petugas di hospital kita.
"Ini supaya jawatan kekosongan yang telah dipindahkan nanti (ke HPG) boleh diganti dengan kadar segera," katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ling berkata sebahagian daripada mereka dipindahkan bagi memastikan HPG berupaya untuk beroperasi mengikut jadual pada 1 Ogos ini.
"Lazimnya pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan tawarkan kepada mereka yang mungkin tinggal dekat dengan hospital berkenaan.
"… atau mereka sendiri yang memilih untuk balik ke tempat kediaman untuk berkhidmat. Ini supaya memastikan hospital itu boleh beroperasi mengikut jadual," katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dalam merangka strategi bagi menyelesaikan isu itu yang melibatkan rancangan jangka sederhana dan panjang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata HPG akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini dengan melibatkan bidang perkhidmatan mustahak.
Beliau berkata ia termasuk perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial