Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 10 Julai (Bernama) -- Indonesia menekankan kepentingan kerjasama antara ASEAN dan China dalam sektor strategik utama, termasuk ekonomi digital, peralihan tenaga bersih, keselamatan makanan dan infrastruktur.
Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata meskipun hubungan ASEAN-China kekal antara paling dinamik dan berpengaruh di rantau ini, sudah tiba masanya kerjasama berkenaan diterjemahkan kepada hasil yang jelas.
“Ini adalah sektor utama yang telah dikenal pasti oleh pemimpin kita,” katanya pada Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Menteri Luar China Wang Yi turut hadir pada mesyuarat berkenaan.
Sugiono menyambut baik penambahbaikan dalam Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang akan dimeterai akhir tahun ini, dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah perdagangan terbuka berasaskan peraturan serta integrasi serantau.
Beliau berkata cadangan “visa ASEAN” oleh China untuk memudahkan perjalanan perniagaan serantau dan pelancaran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, melambangkan peningkatan kerjasama yang strategik.
China telah menjadi rakan dagang utama ASEAN selama lebih 15 tahun, dengan jumlah perdagangan menghampiri US$1 trilion pada 2024, dan merupakan antara tiga penyumbang terbesar pelaburan langsung asing blok berkenaan.
Selain ekonomi, Sugiono turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran serantau yang semakin kompleks, khususnya berkaitan jenayah rentas negara, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus sektor maritim.
Beliau turut menekankan kepentingan memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan menjelang 2026, dengan menegaskan bahawa sebarang kemajuan perlu “memberikan hasil bermakna dan selari dengan kerangka undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)”.
“Hanya melalui pendekatan ini, kita mampu mencapai kerjasama menang-menang demi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial