BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sektor Agromakanan Sumbang RM45.5 Bilion Suku Pertama 2025 - Mohamad Sabu

10/07/2025 04:03 PM

KLANG, 10 Julai (Bernama) -- Sektor agromakanan menyumbang sebanyak RM45.5 bilion atau 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, subsektor perkhidmatan makanan penyumbang terbesar sebanyak RM22.1 bilion diikuti subsektor tanaman, ternakan dan perikanan serta subsektor makanan dan minuman masing-masing RM13.9 bilion dan RM9.7 bilion. 

“Kita semua tahu, sektor agromakanan bukan hanya soal ekonomi tetapi ia juga membabitkan soal kelangsungan hidup... dan masa depan negara.

"Oleh itu, KPKM akan sentiasa komited untuk memastikan sektor ini terus berkembang dan mampan," katanya ketika berucap pada Seminar Pengembangan Agromakanan 2025 Jabatan Pertanian di sini hari ini.

Mohamad berkata bagaimanapun daripada aspek kadar sara diri (SSR) bagi pengeluaran beras, Malaysia masih ketinggalan berbanding Indonesia yang dapat memenuhi keperluan penduduk dan kemampuan eksport. 

Beliau berkata Malaysia yang mempunyai penduduk jauh lebih rendah berbanding negara jiran itu dengan kira-kira 34 juta orang hanya mencapai kira-kira 65 peratus SSR sekali gus menjadi cabaran kepada pihak kementerian berusaha mencapai kadar SSR lebih baik pada masa hadapan.

Mohamad berkata negara kehilangan kira-kira 20,000 hektar tanah yang asalnya sawah padi akibat pemodenan berikutan pemilik menukar status atau penggunaan tanah bagi tujuan perumahan atau pembangunan lain tanpa sebarang penggantian.

“Langkah yang diambil sekarang, kita mempergiat perusahaan sawah baharu di sawah terbiar seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor termasuk di Sarawak dan Sabah bagi menampung kehilangan hasil daripada 20,000 hektar tanah berkenaan.

“Jadi, dengan pemodenan untuk peningkatan hasil, kita perluas di kawasan sawah yang ada, kalau kita dapat tujuh tan metrik perhektar, kita sudah (capai sasaran) SSR. Tetapi sekarang empat hingga lima tan, manakala tujuh atau lapan tan hanya ada di Sekinchan dan beberapa kawasan lain di Selangor,” katanya

Mengulas mengenai laporan Banci Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan hampir separuh petani di negara ini berusia 60 tahun ke atas, Mohamad berkata perkara itu memerlukan masa untuk diatasi. 

Beliau berkata pemerhatian pihaknya mendapati pertanian sawah padi semakin mendapat tempat dalam golongan muda, namun mengakui masih banyak ruang yang perlu dilakukan bagi menarik minat golongan itu untuk kekal terlibat dalam bidang berkenaan. 

Trend itu dilihat berlaku di kawasan penanaman sawah skala besar antaranya di Negeri Sembilan dan Johor, manakala kawasan sawah tradisi seperti di Kedah dan Kelantan masih lagi didominasi oleh petani yang berusia. 

Dalam hal itu, Mohamad berkata pihaknya akan terus menggalakkan generasi muda menyambung usaha pertanian yang diusahakan petani yang sudah tua, khususnya dalam pertanian sawah padi dengan teknologi lebih moden. 

"Petani yang sudah tua ini ada di mana-mana negara cuma kita nak ganti dengan segera agak sukar tetapi kita nampak trend anak muda usahakan sawah semakin memberangsangkan, dengan penggunaan teknologi moden seperti dron sebagaimana boleh dilihat di Sabak Bernam, Selangor dan beberapa kawasan di Kedah," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan