SIBU, 10 Julai (Bernama) -- Penularan penyakit zoonotik dan penyakit tropikal terabai (NTD) kekal menjadi ancaman utama kesihatan global, dan Sarawak mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini, kata Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Bercakap selepas merasmikan Persidangan Asia-Pasifik kedua mengenai Penyakit Zoonotik dan Tropikal Terabai 2025 di sini hari ini, beliau berkata penyakit yang disebarkan kepada manusia melalui haiwan menunjukkan betapa bahayanya penyakit ini.
“Ini program yang penting, dan saya berbesar hati ia bermula di Sibu. Ini kali kedua kita menjadi tuan rumah, dan diadakan setiap dua tahun. Penyakit zoonotik dan tropikal ialah isu serius yang memerlukan perhatian berterusan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita.
Dr Sim berkata penyakit tropikal seperti malaria dan denggi masih berlaku di Sarawak, dengan kemunculan strain baharu.
“Di Sarawak, kita telah saksikan kes Plasmodium knowlesi - sejenis malaria yang berpunca daripada monyet. Ini menunjukkan penularan daripada haiwan kepada manusia semakin kerap berlaku. COVID-19 bukanlah pandemik terakhir. Kita mesti sentiasa bersedia,” katanya.
Beliau berkata Sarawak mengorak langkah dengan projek pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit di Samarahan, yang menelan kos lebih RM200 juta.
“Ada yang berkata rakyat kita miskin, tapi itu tidak bermakna kita perlu menunggu pandemik seterusnya untuk bertindak. Kita melabur bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga dalam latihan, makmal dan infrastruktur,” katanya.
Dr Sim turut berkongsi pengalaman melawat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Amerika Syarikat pada tahun lepas, untuk mendapatkan kerjasama antarabangsa bagi melatih profesional kesihatan Sarawak.
Mengulas mengenai rabies, Dr Sim berkata masyarakat perlu lebih bertanggungjawab, terutamanya dalam soal vaksinasi haiwan peliharaan di kawasan bandar kerana sambutan masih rendah walaupun kempen vaksinasi percuma telah dijalankan.
“Rabies boleh dihapuskan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyasarkan untuk membasmi penyakit ini menjelang 2030 tetapi ia menuntut usaha bersama. Semua pihak perlu memainkan peranan. Pemilik haiwan peliharaan juga perlu bertanggungjawab. Ia bukan tanggungjawab kerajaan semat-mata … ,” katanya.
Beliau berkata walaupun 80 peratus anjing di kawasan sempadan telah divaksin, pemilik haiwan peliharaan di bandar masih kurang memberikan kerjasama, menyebabkan masih terdapat risiko.
“Sama ada anda saintis, doktor, jururawat, pembuat dasar atau orang awam, kita semua mempunyai peranan masing-masing,” katanya.
Persidangan Asia-Pasifik selama dua hari yang bermula hari ini adalah platform untuk pakar dan pembuat dasar berkongsi ilmu, membina rangkaian serta memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani penyakit berjangkit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial