SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) tetap komited dan memberi keutamaan kepada usaha pembangunan bakat bola sepak tempatan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata bagaimanapun, Selangor FC masih perlu mencari serta merekrut pemain warisan yang beraksi di luar negara bagi mengukuhkan dan meningkatkan prestasi pasukan Selangor dalam kejohanan bola sepak di peringkat domestik serta Asia.
Beliau berkata pendekatan secara hibrid itu dilaksanakan seiring dengan pemodenan industri bola sepak di dalam dan luar negara, sekali gus membantu meningkatkan daya saing pasukan Selangor FC.
“Pihak Selangor FC percaya pendekatan hibrid ini mampu meningkatkan daya saing pasukan ke peringkat lebih tinggi serta memelihara kebanggaan dan identiti pasukan ini dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) yang ingin tahu sama ada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan mengambil pendekatan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merekrut pemain bola sepak warisan negara.
Mohd Najwan berkata pengambilan pemain warisan berkualiti dari Eropah akan meningkatkan kualiti pasukan Selangor, namun pada masa sama pelbagai inisiatif dan penyelarasan tetap dijalankan di peringkat akar umbi supaya jurang kualiti antara pemain warisan dan tempatan dapat dikurangkan.
Beliau berkata Selangor FC dan FAS serta kerajaan negeri telah bekerjasama rapat dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan serta memperkasakan sistem pembangunan bola sepak di Selangor.
“Program pembangunan jurulatih, pengadil dan pasukan bola sepak amatur serta penganjuran liga bola sepak peringkat negeri yang sistematik melibatkan pelbagai peringkat umur oleh FAS telah membina asas yang kukuh untuk pemain tempatan mengembangkan bakat.
“Pihak Selangor FC pula memberi penekanan terhadap program pencarian bakat serta pembangunan jurulatih tempatan elit serta bertaraf antarabangsa bagi membolehkan pemain tempatan terbaik di setiap peringkat umur dapat dikenal pasti dan diberi latihan bertaraf tinggi,” katanya.
Mohd Najwan berkata Selangor FC juga banyak menjalinkan hubungan strategik bersama kelab bola sepak profesional di Eropah dan Asia bagi membolehkan pemain tempatan menjalani latihan dan mendapat pendedahan bertaraf antarabangsa bagi merapatkan jurang antara pemain tempatan dan asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial