BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerja Baik Pulih Rumah Pam Kobat Siap Awal, Bekalan Air Pulih Berperingkat — PAIP

10/07/2025 12:03 PM

KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan semua instrumen penting di Rumah Pam Kobat, di sini, telah siap sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi tadi, lebih awal daripada jangkaan asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pam air mentah di rumah pam berkenaan telah kembali beroperasi pada pukul 10.15 pagi, dan sumber air mentah kini dihantar ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses menjadi air terawat.

Beliau berkata beberapa tangki imbangan dan tangki simpanan telah dipenuhkan bagi membina tekanan serta aliran yang stabil, dan pengguna dijangka akan mula menerima bekalan air secara berperingkat.

“Pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan. Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Saiful Zaini turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu.

“Komitmen anda menjadi dorongan buat kami untuk melaksanakan tugas ini dengan lebih cekap dan pantas. Penghargaan turut diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas bantuan dan pemantauan sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya. 

Semalam, PAIP memaklumkan beberapa kawasan di daerah Kuantan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 12 jam bermula 11 malam tadi. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan