KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kenaikan gaji dan pertambahan penerima serta jumlah bantuan ekonomi awam seharusnya mengimbangi kesan kenaikan harga dalam jangka masa pendek susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), khususnya ketika kerajaan giat meningkatkan siling ekonomi negara.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengecualian SST ke atas harga barang asas membantu memastikan golongan B40 tidak begitu terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata ini kerana kenaikan harga hanya melibatkan barangan yang bersifat premium dan barangan import yang jarang dibeli oleh golongan B40.
“Barangan asas diletakkan di bawah kawalan harga dan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diteruskan supaya ada bantuan fiskal berterusan untuk golongan B40,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama beliau berkata pembeli perlu melaksanakan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Ridhuan Bos Abdullah pula berkata daripada aspek teori ekonomi, sebarang cukai yang diperkenalkan akan memberi kesan kepada pengeluar dan pengguna akhir.
“Mungkin kerajaan MADANI sudah buat analisis kos dan faedah, bagaimanapun kesan dalam jangka masa pendek mungkin tidak boleh ditampan dengan tepat terutama ke atas saiz dan kesan cukai, dan ia hanya dapat dianggarkan selepas tempoh setahun hingga tiga tahun pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata ekonomi negara boleh ditambah baik melalui dua cara iaitu potongan cukai dan pemberian subsidi atau dasar cukai yang cekap, yang berupaya meningkatkan perbelanjaan awam dan kecekapan peruntukan.
Kestabilan ekonomi sangat penting untuk sesebuah negara terus berkembang dan kutipan cukai yang cekap akan digunakan oleh negara untuk menstabilkan ekonomi, kata beliau.
Beliau juga berkata ekonomi negara sedang melalui proses reformasi struktur dan alat dasar fiskal seperti SST perlu digunakan untuk dasar agihan negara.
Pada masa yang sama, Muhammad Ridhuan berkata kerajaan juga harus memberi penekanan kepada kecekapan peruntukan.
Kerajaan telah mengambil keputusan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 yang akan memberi kesan kepada 4.37 juta pekerja, berkuat kuasa 1 Februari lepas.
Kenaikan gaji penjawat awam pada 2025 dan 2026 adalah sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang melibatkan dua fasa, dengan fasa kedua pada Januari 2026.
Kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk SARA dan STR pada 2025 iaitu jumlah tertinggi pernah diagihkan untuk bantuan tunai di Malaysia berbanding RM10 bilion tahun lepas.
Bilangan penerima bantuan tunai meningkat kepada 5.4 juta berbanding 700,000 penerima sebelum ini.
Selain itu kerajaan juga telah menyalurkan bantuan Pendidikan Pelajar (BPP) 2025, bantuan Am Wilayah Persekutuan, bantuan e-Wallet MADANI dan e-Belia Rahmah, Bantuan Hari Raya 2025 serta bantuan kewangan kepada penjawat awam pada 2025 sempena perayaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial