BELANJAWAN 2025 > BERITA

Talian Bantuan KJRI Terbuka Kepada Semua Untuk Lapor Insiden Libat Warga Indonesia

09/07/2025 04:29 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan talian bantuan 24 jam KSATRIA yang disediakan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru turut boleh dimanfaatkan warga Malaysia bagi melaporkan sebarang kecemasan membabitkan rakyat Indonesia.

Konsul Jeneral Indonesia di sini S. Sigit Widiyanto berkata talian KSATRIA, iaitu akronim kepada “KJRI Johor Bahru Selalu Ada Tanpa Ragu Lindungi Anda” terbuka untuk digunakan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan rapat dengan warga Indonesia seperti pasangan, majikan dan rakan sekerja.

“Hotline ini bukan hanya untuk warganegara Indonesia. Sekiranya ada kematian melibatkan warga Indonesia di Malaysia misalnya, mereka juga boleh hubungi talian ini untuk mendapatkan panduan atau bantuan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pemasangan papan informasi KSATRIA di Kapal Feri Mdm Express, Terminal Feri Pasir Gudang di sini hari ini.

KSATRIA merupakan talian bantuan berasaskan chatbot dan petugas sebenar yang menyediakan maklumat berkaitan pasport, dokumen perjalanan, kontrak kerja serta waktu operasi konsulat.

Sejak dilancarkan pada 2 April 2023, hotline KSATRIA yang boleh diakses melalui kod QR atau nombor +010-5288040 telah mencatatkan 14,176 pengguna dengan 3,676 aduan diterima dan lebih 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Sigit berkata isu yang paling banyak dilaporkan termasuk Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0), kebajikan pekerja dan hal berkaitan imigresen.

Beliau berkata pemasangan papan maklumat mengenai KSATRIA bermula di Terminal Feri Stulang Laut pada 24 Jun lepas dan akan diperluaskan ke semua terminal feri di bawah wilayah kerja KJRI Johor Bahru.

Sementara itu, Pengurus Besar Terminal Feri Pasir Gudang Mohd Tuah Mohd Amin yang turut hadir pada majlis itu menyambut baik pemasangan papan informasi KSATRIA di terminal berkenaan kerana sebelum ini pihak pengurusan berdepan kesukaran untuk mendapatkan respons segera daripada petugas KJRI apabila berlaku insiden melibatkan warga Indonesia.

“Selama ini kalau ada masalah, kami hubungi mana-mana petugas KJRI secara rawak tetapi dengan adanya hotline KSATRIA, ia lebih mudah, teratur dan cepat untuk diakses,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan