KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Persatuan Emas Malaysia (MGA) baru-baru ini melantik Lembaga Penasihat Syariah (LPS) pertamanya.
Pelantikan LPS merupakan satu langkah penting dan ke hadapan dalam menyediakan tadbir urus syariah, menegakkan piawaian etika selain memupuk keyakinan yang lebih tinggi dalam industri emas Malaysia.
Lembaga yang baru dilantik ini akan berfungsi sebagai badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar yang memberikan kepimpinan syariah kepada MGA, ahlinya serta keseluruhan industri emas dalam hal-hal berkaitan tadbir urus syariah bagi industri secara keseluruhan.
"Inisiatif ini menyerlahkan komitmen MGA untuk mewujudkan garis panduan yang jelas bagi perdagangan dan pelaburan emas serta logam berharga lain yang mematuhi syariah," kata MGA dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presidennya Datuk Louis Ng berkata penubuhan LPS menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam perdagangan logam berharga yang mematuhi syariah.
"Sebagai satu inisiatif strategik, ia memperkukuh peranan negara sebagai hab utama bagi kewangan Islam dan perdagangan emas patuh syariah.
“Selain itu, dengan memperkenalkan pemantauan syariah secara institusi dalam industri ini, MGA menetapkan piawaian baharu untuk pematuhan serta membina keyakinan yang lebih kukuh dalam kalangan pelabur dan pengguna, khususnya dalam komuniti Islam global,” katanya.
Antara ahli pengasas LPS MGA ialah Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin sebagai pengerusi lembaga manakala Khairun Najmi Saripudin dan Zikri Shairy merupakan ahli lembaga.
Mohamad Akram kini merupakan seorang profesor di Universiti INCEIF dan seorang tokoh terkemuka dalam bidang syariah untuk kewangan Islam.
Dalam pada itu, Khairun Najmi pula merupakan seorang penasihat berpengalaman dengan kepakaran kukuh dalam pembangunan kawal selia syariah selain kewangan Islam manakala Zikry merupakan seorang pengamal dalam perbankan dan kewangan Islam yang mempunyai pengalaman langsung dalam pengurusan risiko syariah serta nasihat syariah.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi sekretariat MGA di info@mga.my atau layari www.mga.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial