BELANJAWAN 2025 > BERITA

Teh Tarik "Pemanis" Sesi Pleno AMM Ke-58

09/07/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Di tengah-tengah perbincangan serius mengenai masa depan Asia Tenggara, Malaysia sempat “menyelitkan” minuman kegemaran rakyat - teh tarik pada sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan hari ini.

“Semua delegasi, jemput minum teh tarik kami,” seloroh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang disambut gelak kecil rakan sejawat lain, sekali gus menceriakan suasana pertemuan.

 Sambil memandang kepada Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan, Mohamad berkata: “Vivian, anda mahu teh tarik?

“Inilah keistimewaan Malaysia - teh tarik. Kalau datang ke Malaysia, tetapi tak rasa teh tarik, memang rugi,”.

Teh tarik adalah hidangan ikonik budaya sarapan Malaysia dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan