Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar yang menandakan permulaan siri libat urus peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai rakan sejawatnya dari ASEAN dalam pertemuan itu yang berlangsung sebelum majlis perasmian yang disempurnakan oleh Anwar.
Antara yang hadir ialah Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Setia Erywan Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane.
Turut serta Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro, Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son.
Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas turut menghadiri mesyuarat itu selaras dengan status semasa negara itu sebagai pemerhati dalam ASEAN.
Hadir sama dalam pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Lebih 1,500 perwakilan dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog luar menyertai 24 mesyuarat peringkat menteri yang berlangsung selama empat hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial