BELANJAWAN 2025 > BERITA

Guru, Alumni Pemangkin Perpaduan Dan Pembangunan Pelajar - JPNIN

08/07/2025 04:54 PM

TUMPAT, 8 Julai (Bernama) -- Peranan guru dan alumni bukan sahaja penting dalam aspek akademik, malah menjadi pemangkin kepada perpaduan komuniti serta pembentukan karakter pelajar, kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Che Roslan Che Daud.

Beliau berkata kejayaan sesebuah institusi pendidikan tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya turut ditentukan oleh kekuatan sokongan komuniti, khususnya guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni.

“Alumni dan PIBG ialah nadi penting dalam memperkasa sekolah melalui bimbingan kerjaya, kepimpinan pelajar, kesedaran sivik serta perpaduan komuniti. Program seperti ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya platform strategik untuk memupuk nilai kenegaraan dan jati diri,” katanya.

beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Santuni MADANI Rukun Tetangga dan Sekolah Angkat MADANI bersama PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan, di sini, hari ini.

Beliau berkata alumni juga berperanan sebagai jambatan antara sekolah dengan agensi kerajaan dan swasta bagi membuka peluang pendedahan luar bilik darjah seperti latihan industri, lawatan sambil belajar dan program kesukarelawanan.

Che Roslan berkata jalinan ukhuwah antara generasi terdahulu dan pelapis baharu penting dalam mewujudkan semangat kebersamaan yang menyeluruh.

“Saya yakin alumni SMK Mahmud Mahyidin mampu menjadi agen perubahan dan inspirasi kepada pelajar. Perkongsian pengalaman serta cabaran hidup mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mencontohi jejak langkah mereka,” katanya.

Mengulas inisiatif Sekolah Angkat MADANI, beliau berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk pembangunan bilik darjah pintar atau  ‘Smart Class’ di sekolah terbabit yang akan memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Smart Class ini akan menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan melahirkan pelajar celik teknologi serta berdaya saing,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 73 sekolah di Kelantan, termasuk 25 di Tumpat, sudah menyertai inisiatif berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan