BELANJAWAN 2025 > BERITA

HASiL Saran Pembayar Cukai Beri Maklum Balas Audit, Elak Taksiran Tambahan

08/07/2025 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) meminta pembayar cukai untuk memberi maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan semasa proses audit cukai.

Ketua Penolong Pengarah HASiL Wilayah Putrajaya Rohaizad Abd Fandi berkata kegagalan berbuat demikian, akan dianggap sebagai ketiadaan dokumen sokongan bagi bukti tuntutan, sekali gus menyebabkan tuntutan itu tidak diluluskan dan taksiran tambahan akan dikemukakan.

“Sebarang tuntutan yang tidak layak atau tidak dapat disokong dengan bukti yang sah, adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

“Pembayar cukai akan menerima Notis Taksiran Tambahan dan dikehendaki membayar cukai yang dikenakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai bertajuk “Kena Audit? Tenang dan Fahami Dahulu Proses & Kepentingannya”, di Bernama Radio hari ini.

Rohaizad berkata wujud stigma dalam kalangan pembayar cukai setiap kali dipanggil untuk diaudit sehingga ada yang panik, sedangkan proses audit merupakan prosedur biasa bagi memastikan ketelusan dan ketepatan maklumat dalam borang cukai.

Beliau berkata langkah yang perlu diambil apabila dipanggil untuk diaudit ialah kekal tenang dan cuba fahami kandungan notis berkenaan, atau boleh menghubungi terus pejabat HASiL serta hadir sendiri bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Pembayar cukai sebenarnya mempunyai hak yang jelas semasa proses audit dijalankan, antaranya hak untuk dimaklumkan secara rasmi melalui pengeluaran notis terlebih dahulu sebelum pengauditan,” katanya.

Rohaizad berkata pembayar cukai juga mempunyai hak untuk diberikan masa yang munasabah bagi menyediakan dokumen dan memohon tempoh lanjutan secara rasmi, serta mempunyai hak membuat rayuan jika tidak bersetuju dengan hasil audit berkenaan.

Beliau berkata mereka juga boleh mendapatkan bantuan profesional seperti ejen cukai bertauliah dan berpengalaman semasa diaudit, terutama bagi perniagaan berskala besar dengan struktur kewangan rumit yang melibatkan banyak transaksi atau pelbagai sumber.

“Proses audit cukai, berbeza-beza bergantung jenis audit dan tahap kerumitan kes dan orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses itu, serta menyimpan semua dokumen sokongan yang diperlukan,” katanya.

Rohaizad turut mengingatkan pembayar cukai untuk melunaskan bayaran cukai seperti yang diarahkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil, termasuk sekatan perjalanan ke luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan