BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Pelawa Airbus, Embraer Pertimbang Jadikan Negara Hab MRO, Rantaian Bekalan

08/07/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia mempelawa pengeluar pesawat seperti Airbus dan Embraer untuk menjadikan negara ini sebagai hab bagi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta rantaian bekalan sekiranya perjanjian pembelian pesawat oleh AirAsia dan Malaysia Airlines direalisasikan. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain membincangkan potensi pembelian pesawat, kerajaan juga mengambil pendekatan untuk memastikan pembelian tersebut memberikan hasil ataupun kelebihan kepada Malaysia bagi menarik pelaburan. 

“Ini strategi yang kita guna pakai supaya pembelian ini bukan satu hala sahaja, malah memberikan manfaat kepada Malaysia dalam sektor aeroangkasa.

“Sudah tentu syarikat penerbangan kita kena ada strategi pembelian yang lebih pelbagai termasuk Malaysia Airlines yang kini juga mempelbagaikan pembelian pesawatnya, dan tidak hanya bergantung kepada satu syarikat pembekal (sahaja),” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil.

Selain itu, Loke berkata kerajaan juga mencadangkan Perancis untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai hab bagi ‘final assembly line’ (proses pembuatan akhir pesawat) memandangkan Airbus menerima banyak tempahan pesawat. 

“Sekarang ini Airbus mempunyai tempahan yang cukup banyak, banyak pesawat belum dapat diserahkan dan banyak syarikat penerbangan yang menempah pesawat Airbus menghadapi kelewatan.

“Airbus sekarang ada 8,000 pesawat yang masih back-log (belum diserah), jadi mereka mempunyai masalah dari segi rantaian bekalan dan sebagainya untuk menyiapkan pesawat ini.

"Oleh itu kita juga mengharapkan Airbus boleh melabur dengan lebih banyak di Malaysia dari segi mendapatkan rantaian bekalan dan mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pemasangan pesawat,” katanya.

Loke berkata sekiranya pelaburan ini direalisasikan, ia bakal melonjakkan sektor aeroangkasa negara selain memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Ini strategi yang kita harapkan melalui diplomasi (aviation diplomacy) seperti ini dan kehadiran Perdana Menteri sendiri bercakap dengan Presiden Perancis, dan pihak syarikat (penerbangan) pula terus bersama-sama dengan pihak pengurusan Airbus, jadi ini yang saya rasa merupakan satu tindakan diplomasi proaktif daripada negara,” katanya. 

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, menandatangani perjanjian membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai US$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan serahan disahkan pada 2028.

Menurut Loke, Airbus sudahpun beroperasi di Malaysia termasuk mempunyai MRO dan pusat latihan. 

“Sebagai contoh, mereka ada pusat latihan Airbus Helicopter berpangkalan di Subang, memang sudah sedia, ada tetapi apa yang kita mahu adalah mereka besarkan lagi operasi,” katanya. 

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, membeli 20 pesawat A330neo tambahan melalui tempahan terus dengan Airbus.

Tempahan baharu itu adalah susulan komitmen awal MAG pada 2022 membeli 20 pesawat A330neo -- terdiri daripada 10 pesawat yang dibeli terus dan 10 yang dipajak daripada Avolon -- menambahkan jumlah pesawat A330neo Kumpulan kepada 40 pesawat setakat ini. Penghantaran bagi kumpulan pesawat tambahan itu dijadualkan antara 2029 dan 2031.

"Malaysia Airlines telah menempah 20 pesawat A330neo, tetapi setakat ini, hanya empat yang diserahkan, ini telah ditempah tiga tahun lalu, ada 16 lagi yang belum dapat.

"Mereka menambah 20 lagi sekarang, jadi kesemuanya akan jadi 40 pesawat A330neo dan selain itu, Malaysia Airlines juga sedang menimbang (membeli) pesawat A350, jadi mereka perlu membuat keputusan segera,” katanya.

Sementara itu Loke berkata, pengeluar komponen komposit aeroangkasa tempatan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang berpangkalan di Batu Berendam, Melaka, turut meraih kepercayaan syarikat penerbangan utama dunia termasuk Airbus dan Boeing untuk menghasilkan beberapa komponen pesawat bagi syarikat mereka.

Pengeluar pesawat Brazil, Embraer mempunyai hampir 20 pengendali di Asia Pasifik, yang beroperasi dengan kira-kira 200 E-Jets di Asia-Pasifik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan