BELANJAWAN 2025 > BERITA

DUN Selangor Akan Bahas Insiden Putra Heights

07/07/2025 12:36 PM

SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya akan dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kali ini, kata Speaker DUN Selangor Lau Weng San. 

Beliau berkata ia akan diadakan selepas sesi khas penerangan yang bakal dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atau wakilnya selepas pembentangan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 pada persidangan kali ini. 

"Akan ada, seperti yang saya nyatakan ada perbahasan selepas ini pada sebelah petang Menteri Besar akan berjumpa dengan semua ahli dewan untuk memberi taklimat. 

"... selepas itu dewan akan bersidang semula, dan kita semua akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan (dalam perbahasan)," katanya pada persidangan DUN Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini. 

Terdahulu, Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan rayuan daripada 20 penama iaitu mangsa yang terkesan akibat insiden letupan pada 1 April lepas supaya perkara berkenaan dibincangkan pada persidangan DUN Selangor kali ini. 

Lau kemudiannya tidak membenarkan perkara berkenaan dibentangkan kerana dilihat sebagai bertindih dengan permohonan yang telah difailkan oleh Amirudin untuk membentangkan perkara berkenaan pada persidangan kali ini. 

"Saya ingin menekankan bahawa sebab utama kenapa rayuan itu tidak dibenarkan kerana sudah ada permohonan daripada Menteri Besar untuk membincangkan perkara ini di bawah agenda ini yang membolehkan lebih ramai partisipasi daripada semua ahli dewan," katanya. 

Persidangan DUN Selangor bermula hari ini dijangka berlangsung hingga 11 Julai. 

-- BERNAMA   

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan