BELANJAWAN 2025 > BERITA

AMM Ke-58: KSU Kementerian Luar Adakan Pertemuan Dengan Pegawai Kanan ASEAN

06/07/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin telah mengadakan empat mesyuarat dua hala bersama pegawai kanan ASEAN dari Kemboja, Indonesia, Thailand dan Brunei pada Ahad, menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan agenda, memuktamadkan dokumen hasil bersama, meneliti aspek logistik dan protokol bagi memastikan kelancaran mesyuarat, di samping  memperkukuh persefahaman dalam kalangan pegawai kanan negara anggota ASEAN berhubung isu serantau yang akan dibincangkan pada peringkat menteri.

Amran memulakan sesi libat urus dengan Setiausaha Negara Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Kung Phoak disusuli Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN di Kementerian Luar Indonesia Sidharto Reza Suryodipuro.

Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand Eksiri Pintaruchi dan Setiausaha Tetap (ASEAN) Kementerian Luar Brunei Johariah Abdul Wahab.

Setiap mesyuarat berlangsung lebih 30 minit.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Mesyuarat yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), akan menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan