BANDARAYA GAZA/ANKARA, 6 Julai (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 41 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh pada Ahad dalam siri serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan dan laporan tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Di Bandaraya Gaza, 25 orang terbunuh apabila pesawat perang Israel mengebom dua rumah yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Sheikh Radwan dan Al-Nasr, menurut sumber perubatan.
Saksi memaklumkan serangan berlaku ketika rumah itu dipenuhi keluarga yang sedang tidur, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan dron Israel ke atas khemah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Sheikh Radwan, membunuh tiga orang dan mencederakan yang lain, menurut pegawai kesihatan.
Selain itu, tiga orang daripada keluarga yang sama terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel semalaman ke atas rumah mereka di kejiranan Al-Daraj, Bandaraya Gaza, menurut sumber di Hospital Al-Ahli Baptist.
Di selatan Gaza, sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk kanak-kanak dan seorang wanita hamil, terbunuh dalam dua serangan udara Israel ke atas khemah sementara untuk orang awam yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, menurut pasukan perubatan di Hospital Medan Kuwait dan Hospital Nasser.
Tentera Israel turut mengebom struktur kediaman dan awam di timur Bandaraya Gaza dan bahagian utara Gaza pada waktu malam, dengan penduduk melaporkan letupan berterusan sepanjang malam.
Di tengah Gaza, serangan artileri Israel mencederakan seorang nelayan Palestin di perairan Deir al-Balah.
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk genjatan senjata, Israel meneruskan perang yang disifatkan sebagai genosid di Gaza, mengorbankan lebih 57,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak Oktober 2023.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perangnya di wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial