LUMUT, 6 Julai (Bernama) -- UMNO perlu memenuhi empat prasyarat utama sekiranya berhasrat menawan semula kerusi Parlimen Lumut serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pangkor dan Pasir Panjang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata prasyarat utama ialah memastikan kesatuan dan penyatuan dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Lumut, selain memperkukuh kerjasama bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC.
"Tiada ruang untuk perpecahan. Musuh politik kita tidaklah kuat tetapi kelemahanan dalaman akibat hilangnya keyakinan terhadap parti sendiri telah melemahkan perjuangan kita.
“Budaya lama seperti tikam belakang, menyalahkan pemimpin dan menuding jari harus dihentikan serta-merta. Penyatuan UMNO Bahagian Lumut adalah prasyarat utama untuk kemenangan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa kemenangan semula tidak boleh dicapai dengan usaha UMNO secara bersendirian, sebaliknya memerlukan bantuan daripada rakan-rakan komponen iaitu MIC dan MCA yang kini sedang melalui tempoh mencabar.
Beliau turut mengingatkan ahli supaya meninggalkan budaya lama dan membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO kini sudah berubah serta bersedia memenangi semula kepercayaan rakyat.
“Sikap angkuh dan sombong perlu ditinggalkan. Kita harus tampil merendah diri dan bijak dalam pendekatan. Hanya dengan strategi yang teratur dan komunikasi berkesan, kepercayaan rakyat dapat diraih semula,” katanya.
Menurutnya antara prasyarat lain ialah keupayaan menguasai media sosial dan mendekati pengundi secara strategik menerusi saluran digital.
“Media sosial kini medan perjuangan baharu. Pemuda dan Puteri UMNO perlu menjadi juara naratif digital dengan pendekatan yang berhemah, meyakinkan dan relevan kepada pengundi muda.
“PRU16 adalah peluang terakhir untuk merampas semula ketiga-tiga kerusi di Lumut. Jangan sesekali mensia-siakannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial