BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fahmi Ketuai Delegasi Malaysia Ke WSIS+20 Di Geneva Dari 7 Hingga 11 Julai

06/07/2025 05:11 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 6 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di sini dari 7 hingga 11 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi hari ini, penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara yang inklusif serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Penyertaan ini membawa pelbagai manfaat strategik kepada negara, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan Malaysia dalam peluasan capaian internet luar bandar, keterangkuman teknologi komunikasi serta inisiatif memperkasakan celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) rakyat, seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Malaysia menggunakan pentas WSIS untuk memperkenalkan inisiatif utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju serantau dalam transformasi teknologi komunikasi.

WSIS merupakan platform anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghimpunkan pemimpin dunia bagi memanfaatkan ICT ke arah pembangunan mampan, merangkumi beberapa komponen utama termasuk Garis Tindakan WSIS iaitu, rangka kerja yang mencakupi 11 bidang tumpuan berkaitan ICT seperti infrastruktur, pembangunan kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.

Selain itu, Anugerah WSIS yang mula diperkenalkan pada 2012, mengiktiraf projek pembangunan teknologi berimpak tinggi, dengan sebanyak 234 pemenang dan 648 juara telah diiktiraf setakat ini.

Sepanjang WSIS+20, Fahmi turut dijadual mengadakan lebih 10 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria, serta mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan