BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perlindungan Hutan Indo-Malaya: Inisiatif Pemuliharaan RM177 Juta Dilancarkan

06/07/2025 01:40 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 6 Julai (Bernama) -- Sebuah agensi pemuliharaan global mengumumkan projek bernilai RM177 juta (US$42 juta) bagi melindungi hutan Indo-Malaya yang merupakan antara kawasan hutan primer utama terakhir di dunia.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) bulan lalu memaklumkan bahawa hutan Indo-Malaya, yang merentasi Bhutan hingga Papua New Guinea, menjadi habitat kepada lebih 5,000 spesies terancam.

IUCN memberi amaran bahawa kira-kira 60 peratus daripada tumbuh-tumbuhan asal telah musnah manakala baki hutan primer kini berdepan tekanan akibat amalan pertanian tidak mampan, pembalakan serta persaingan dalam penggunaan tanah.

Hutan itu memainkan peranan penting kepada lebih 560 juta penduduk di rantau ini dengan menyediakan sumber seperti  seperti pengawalan air, penyingkiran karbon, kayu dan hasil hutan bukan kayu, menurut IUCN dalam satu kenyataan.

“Pendanaan Global Environment Facility (GEF) disediakan oleh negara penderma yang mengambil bahagian dan disalurkan kepada negara membangun serta negara dengan ekonomi dalam peralihan untuk memenuhi objektif konvensyen dan perjanjian alam sekitar antarabangsa,” kata pejabat media IUCN yang berpusat di Switzerland kepada Bernama.

IUCN mengumumkan inisiatif baharu yang dinamakan "Program Bersepadu Hutan Asia Tenggara dan Pasifik" yng bertujuan memperkukuh kesihatan dan kesalingubungan hutan primer di seluruh rantau ini, kata IUCN.

Dilancarkan pada bengkel permulaan di Chiang Mai, Thailand, program itu bertujuan untuk memanfaatkan kepelbagaian biologi dan faedah iklim serta memastikan kelestarian mata pencarian penduduk setempat.

IUCN dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menjadi pelaksana utama projek itu.

“Biom hutan Indo-Malaya merupakan antara ekosistem paling purba dan kaya secara ekologi di dunia - sebuah takungan hidup bagi biodiversiti, budaya dan daya tahan iklim.

“Dengan tekanan yang semakin meningkat ke atas hutan ini, program baharu ini menawarkan peluang yang tepat pada masanya dan transformasi untuk mengubah keadaan,” kata Ketua Pengarah IUCN Dr Grethel Aguilar.

Projek itu menyasarkan penambahbaikan pengurusan 3.2 juta hektar kawasan perlindungan dan lebih tujuh juta hektar landskap, memulihkan 8,500 hektar ekosistem terdegradasi serta mengurangkan 34 juta tan pelepasan gas rumah hijau.

Menurut IUCN, usaha itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 20,000 orang.

“Hutan primer di Asia Tenggara dan Pasifik menyediakan perkhidmatan penting kepada seluruh rantau, terutamanya masyarakat luar bandar yang bergantung kepada sumber hutan untuk mata pencarian dan keselamatan makanan mereka.

“Kerjasama merentasi negara dan organisasi ini akan mengurangkan risiko kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim untuk pengeluaran yang lebih baik, pemakanan lebih baik, alam sekitar lebih baik dan kehidupan lebih baik,” kata Penolong Ketua Pengarah FAO merangkap Wakil Serantau untuk Asia dan Pasifik, Alue Dohong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan