BELANJAWAN 2025 > BERITA

UMNO Perlu Pendekatan Baharu Tarik Sokongan Pengundi Muda – Johari

05/07/2025 05:37 PM

BATU PAHAT, 5 Julai (Bernama) -- UMNO memerlukan pendekatan baharu yang berkesan bagi menarik sokongan pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang sekali gus menentukan kemenangan parti, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

"Golongan muda tidak menilai UMNO berdasarkan pencapaian lampau, tetapi melihat kepada apa yang boleh ditawarkan untuk masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata selain itu, struktur kepimpinan UMNO juga perlu disusun seperti pasukan bola sepak dengan peranan jelas bagi setiap anggota agar parti dapat bergerak dengan lebih tersusun dan strategik menghadapi pilihan raya.

"Struktur organisasi yang jelas dan tersusun akan membantu parti bergerak sebagai satu pasukan. Setiap anggota harus tahu peranannya seperti dalam pasukan bola sepak dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab untuk menjamin kejayaan bersama," katanya.

Sementara itu, di Perlis, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Barisan Nasional mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali negeri berkenaan pada pilihan raya umum akan datang. 

Beliau berkata ini kerana rakyat pada pilihan raya umum lepas melalui fasa hendak mencuba kerajaan yang baharu namun kini kembali merindui khidmat bakti yang ditonjolkan UMNO selama ini.

“Malah, saya yakin insya-Allah dengan kepimpinan baharu dan wajah-wajah baharu ditampilkan UMNO di (Bahagian) Arau, Padang Besar dan Kangar, bakal memberi kelebihan,”  katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Rozabil Abd Rahman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Perikatan Nasional berjaya memenangi ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar serta menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Satu kerusi DUN iaitu Indera Kayangan dimenangi Gan Ay Ling dari Pakatan Harapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan