BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat Bersama 40 Pemimpin Industri Perancis, Bincang Kerjasama Strategik Berimpak Tinggi

04/07/2025 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat meja bulat bersama 40 pemimpin industri dari Perancis yang beroperasi di Malaysia untuk membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi pada peringkat global.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN serta disokong oleh kestabilan politik dan dasar mesra pelabur selain ekosistem industri yang dinamik. 

“Saya tekankan bahawa Malaysia kini menjadi hab utama dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor, elektrik dan elektronik serta terus memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas. 

“Potensi ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan inisiatif fasilitasi pelaburan oleh agensi kerajaan,” katanya dalam catatan di laman sosial X beliau, @anwaribrahim selepas selesai mengadakan mesyuarat berkenaan di Paris, pada Jumaat.

Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia kini berada di ibu kota Perancis sempena lawatan rasmi selama dua hari ke negara itu.

Mengulas mengenai mesyuarat yang diadakan, beliau berkata antara yang hadir pada sesi itu termasuklah syarikat Perancis seperti Air Liquide, L’Oréal, Axens, Schneider Electric dan Thales yang telah lama bertapak di Malaysia dan terus menunjukkan komitmen kukuh.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan PKS agar dapat menyertai rantaian bekalan global dan menjadi rakan kongsi strategik kepada pelabur asing, termasuk melalui pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan bakat.

“Saya juga menggalakkan syarikat Perancis meneroka Zon Ekonomi Khas dan taman halal di Malaysia serta menjalin kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, CCUS, ekonomi digital, pertahanan dan aeroangkasa selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara yang inklusif dan mampan,” kata beliau.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara EU. 

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM15.95 bilion (US$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (US$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan