Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 4 Julai (Bernama) -- Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mengenakan penalti berjumlah S$27.45 juta terhadap sembilan institusi kewangan (FI) berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion pada 2023.
Dalam kenyataan pada Jumaat, MAS mengumumkan tindakan pengawalseliaan terhadap institusi-institusi terlibat dan beberapa individu atas pelanggaran berkaitan antipengubahan wang haram.
Cawangan Credit Suisse (Singapura) dan United Overseas Bank (UOB) menerima penalti tertinggi masing-masing sebanyak S$5.8 juta dan S$5.6 juta, diikuti UBS AG (cawangan Singapura) sebanyak S$3 juta.
Bank lain dalam senarai termasuk Citibank N.A. Singapore dan Citibank Singapore Ltd yang dikenali bersama sebagai Citi (S$2.6 juta); Bank Julius Baer & Co. Ltd. (cawangan Singapura) (S$2.4 juta); dan LGT Bank (Singapore) Ltd. (S$1 juta).
Turut disenaraikan ialah dua pemegang lesen pasaran modal -- UOB Kay Hian Pte. Ltd. (S$2.85 juta) dan Blue Ocean Invest Pte. Ltd. (S$2.4 juta) -- serta sebuah syarikat amanah berlesen, Trident Trust Company (Singapore) Pte. Ltd. (S$1.8 juta).
MAS berkata penalti berkenaan mengambil kira beberapa faktor termasuk tahap pendedahan FI kepada individu berkepentingan (POI), jumlah pelanggaran terhadap keperluan MAS dan tahap kelemahan dalam kawalan Antipengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) FI berkenaan.
“Secara keseluruhan, MAS mendapati kebanyakan FI telah menetapkan dasar dan kawalan AML/CFT. Pelanggaran berlaku akibat pelaksanaan dasar dan kawalan berkenaan yang lemah atau tidak konsisten,” menurut kenyataan itu.
Antara penemuan lain, kesemua sembilan FI gagal mengesan atau mengambil tindakan lanjut dengan sewajarnya terhadap ketidakselarasan ketara atau petanda mencurigakan dalam maklumat dan dokumen yang sepatutnya menimbulkan keraguan terhadap sumber kekayaan pelanggan tertentu.
MAS memaklumkan bahawa FI terlibat telah memulakan langkah penambahbaikan terhadap kelemahan berkenaan dan pihak pengawal selia akan memantau kemajuan mereka dengan rapat.
Selain itu, MAS telah mengeluarkan perintah larangan (PO) antara tiga hingga enam tahun serta teguran terhadap individu yang terlibat dalam menguruskan hubungan FI dengan POI.
Sepanjang tempoh PO, individu terlibat dilarang daripada menjalankan sebarang aktiviti atau perniagaan atau memberikan perkhidmatan yang dikawal selia atau dibenarkan oleh MAS.
Mereka juga dilarang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan, menjadi pengarah, rakan kongsi atau pengurus mana-mana FI dan daripada menjadi pemegang saham utama mana-mana FI yang berstatus korporat.
Timbalan Pengarah Urusan MAS (Penyeliaan Kewangan) Ho Hern Shin berkata MAS akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan untuk memastikan pelaksanaan langkah AML/CFT yang lebih konsisten.
“Seperti pusat kewangan antarabangsa utama lain, Singapura terdedah kepada risiko pengubahan wang haram. Kepekaan institusi kewangan dan kakitangan mereka sangat penting dalam mengurangkan risiko ini,” katanya sambil menambah MAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial